Izwan Hasli dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu PNB Merdeka Ventures

Izwan Hasli berkata tahun 2026 akan menjadi tahun penting dengan pembukaan tarikan utama yang akan menghidupkan kawasan berkenaan. - Gambar fail/PNB
KUALA LUMPUR: Pemaju kawasan Merdeka 118 di Kuala Lumpur, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV), melantik Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa 1 Jan, 2026.
Ringkasan AI
- Datuk Izwan Hasli Mohd Ibrahim dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PNBMV) mulai 1 Januari 2026, dengan pengalaman lebih dari 25 tahun dalam kepimpinan syarikat-syarikat ternama di Malaysia.
- Tumpuan utama Izwan Hasli ialah menghidupkan destinasi utama Merdeka 118 termasuk 118 Mall, The View at 118 Observation Deck, dan Muzium Tekstil Merdeka untuk mencapai kecemerlangan operasi dan memastikan nilai aset dimanfaatkan sepenuhnya.
- PNBMV bersama Izwan Hasli berhasrat menjadikan tahun 2026 sebagai tahun penting dengan pembukaan tarikan utama di Merdeka 118, serta memfokuskan inovasi, kemampuan digital, serta perhatian kepada rakyat dan komuniti bagi mencapai pembangunan bersepadu yang cemerlang dan meriah.
PNBMV, anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata keutamaan Izwan Hasli termasuk meningkatkan kecemerlangan operasi, memanfaatkan nilai aset serta memastikan Merdeka 118 memenuhi janjinya sebagai kawasan pembangunan bersepadu yang rancak dan meriah.
Sementara itu, Izwan Hasli berkata tahun 2026 akan menjadi tahun penting dengan pembukaan tarikan utama yang akan menghidupkan kawasan berkenaan.
"Dengan mengutamakan inovasi, memanfaatkan kemampuan digital, dan meletakkan rakyat serta komuniti di pusat pembangunan, kami berhasrat untuk menjadikan Merdeka 118 sebagai pembangunan bersepadu yang menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan," kata beliau.
Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata lembaga pengarah yakin dengan pelantikan Izwan Hasli, PNBMV akan terus memajukan kawasan mercu tanda ini sebagai pemangkin kepada aspirasi pembangunan bandar Malaysia.
PNBMV, yang ditubuhkan pada Jun 2000 adalah pemilik tanah dan penjaga tunggal bagi Stadium Merdeka dan Stadium Negara. Kedua-dua stadium ini telah disenaraikan sebagai tapak Warisan Negara pada Oktober 2005 di bawah Akta Warisan Negara 2005.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


