China terbit kertas dasar keselamatan negara Hong Kong selepas hukuman penjara Jimmy Lai

Sebuah kenderaan Jabatan Perkhidmatan Penjara yang dipercayai membawa aktivis dan penerbit Hong Kong, Jimmy Lai, meninggalkan Mahkamah Majistret West Kowloon. - Foto AP
HONG KONG: China pada Selasa menerbitkan kertas dasar mengenai amalan Hong Kong dalam melindungi keselamatan negara, menegaskan Beijing mempunyai “tanggungjawab asas” terhadap hal ehwal keselamatan di bandar itu, lapor Reuters.
Kertas dasar yang dikeluarkan oleh State Council of China itu diterbitkan sehari selepas mahkamah Hong Kong menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas pengkritik utama China dan bekas mogul media, Jimmy Lai, dalam kes pakatan dengan kuasa asing di bawah undang-undang keselamatan negara.
Hukuman paling berat setakat ini di bawah undang-undang berkenaan mencetuskan kritikan antarabangsa termasuk daripada Amerika Syarikat, Britain, Kesatuan Eropah, Jepun dan kumpulan hak asasi.
Ketua hak asasi PBB Volker Turk menyifatkan hukuman terhadap lelaki berusia 78 tahun itu sebagai “tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa”.
Kertas dasar itu menyatakan Hong Kong akan terus memperkukuh sistem perundangan bagi melindungi keselamatan negara, sambil menegaskan bandar itu mampu mengharungi risiko dan cabaran dalam persekitaran global yang bergolak.
Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee menyambut baik penerbitan dokumen tersebut dan berkata pihak berkuasa perlu kekal berwaspada terhadap ancaman keselamatan.
Beliau menambah hukuman terhadap Lai memberi “amaran tegas” terhadap usaha bersekongkol dengan kuasa luar.
Pengkritik bagaimanapun mendakwa undang-undang keselamatan negara digunakan untuk menyekat perbezaan pendapat dan gerakan prodemokrasi susulan protes besar-besaran pada 2019.
Kertas dasar itu sebaliknya menyifatkan undang-undang tersebut sebagai “perisai undang-undang” yang memulihkan ketenteraman dan mengukuhkan prinsip “satu negara, dua sistem”.
China menerbitkan kertas dasar mengenai Hong Kong secara berkala bagi menggariskan pendirian terkininya terhadap wilayah yang diserahkan daripada Britain kepada China pada 1997.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


