29,310 permohonan kemasukan Tahun Satu direkodkan di Perak setakat Mac

Sesi soal jawab lisan berlangsung pada Persidangan DUN di Ipoh hari ini. --fotoBERNAMA
Sebanyak 29,310 permohonan kemasukan murid ke tahun satu bagi sesi persekolahan akan datang telah direkodkan di seluruh Perak menerusi sistem pendaftaran dalam talian yang ditutup bagi fasa pertama pada 31 Mac lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata jumlah tersebut merangkumi 25,027 permohonan bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun dan 4,283 permohonan melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun.
"Kalau kita campurkan kedua-dua ini (jumlah permohonan), bilangan permohonannya adalah sebanyak 29,310, tetapi dari segi unjuran dapatan oleh Jabatan Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, kapasiti bagi negeri Perak untuk penempatan tahun satu adalah 49,499.
"Maksudnya masih lagi kekurangan kira-kira 19,000, mungkin ketika proses pembukaan semula pendaftaran 1 Mei ke 15 Nov nanti, jumlah ini akan bertambah," katanya pada sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rosli Abd Rahman (PN-Pasir Panjang) yang mahu tahu sekiranya peruntukan yang akan disalurkan nanti mencukupi untuk disediakan kelas kabin ataupun tempat pembelajaran dan pengajaran untuk lebih 400 sekolah rendah di negeri ini.
Khairudin berkata pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga pada setiap pertengahan tahun sama ada Jun atau Julai akan membuat Anggaran Belanjawan Mengurus (ABM) untuk menyalurkan keperluan tertentu berdasarkan kepada data diperoleh.
"Maksudnya kita dah buat perancangan itu, tetapi kalau ada kecemasan, rancangan luar jangka, maka semasa ABM itu akan dibentangkan dan pihak Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM akan membuat anggaran untuk sesi persekolahan 2027, terutamanya dari segi kerusi meja, buku teks dan juga keperluan guru.
"Saya mengharapkan agar perkara ini jangan jadikan satu kebimbangan, sesak dan sebagainya sebab dari segi data kita masih mampu untuk menerima kemasukan pelajar walaupun melibatkan kohort umur enam dan tujuh tahun," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

