Amira Aisya jadi Presiden baharu MUDA, tekad bela nasib rakyat

Suasana sekitar Pemilihan parti MUDA yang julung kali dilangsungkan, selain turut diadakan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025. - Gambar Astro AWANI
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melantik ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz sebagai Presiden Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) bagi penggal 2026-2029.
Amira Aisya, 31 tahun, menerima 103 undi yang melayakkan dirinya memasuki kelompok 25 teratas dalam Pemilihan JKEP melibatkan sejumlah 31 calon, di sini, pada Sabtu.
“Saya percaya kesemua 25 ahli JKEP yang diberi mandat ini ada visi dan misinya sendiri, saya juga yakin sekiranya mereka meneruskan gerak kerja sebagaimana mereka janjikan dalam kampen manifesto sebelum ini, maka MUDA akan pergi jauh dalam penggal 2026 sehingga 2029.
“Saya mohon doa dari semua rakan-rakan perwakilan supaya kami dapat menjalankan tugas dengan baik, doakan kami supaya terus mengangkat suara rakyat, doakan kami tidak pernah lupa pada mereka yang susah, sakit dan lapar.
“Juga doakan kami semua agar terus berupaya mencorak warna Malaysia, di mana semua anaknya dapat hidup dengan bermaruah,” ujar Amira Aisya dalam satu sidang media.
Pada penggal sebelum ini, Amira Aisya menyandang jawatan Pemangku Presiden selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan kedudukan Presiden pada 9 November 2023.
Pemilihan parti MUDA yang julung kali dilangsungkan ini turut diadakan serentak dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2025.
Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden pula dipegang Zaidel Baharuddin, manakala Naib-naib Presiden adalah Leben Siddarth, Faezrah Rizalman, Zairul Afiq, Dobby Chew dan Dr Siva.
Kedudukan Setiausaha Agung disandang Ainie Haziqah dan Ketua Penerangan dipegang oleh Rasid Abu Bakar.
Seterusnya jawatan Bendahari Agung dan lima lantikan tambahan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (di bawah kuasa Presiden) akan dimaklumkan selepas cuti Aidilfitri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

