Anak Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta

Asnida tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
Asnida Daim, anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis perisytiharan harta membabitkan pegangan saham di lima syarikat, tiga tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat Asnida,65, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis berkenaan dihantar pegawai SPRM pada 14 November 2023, kerana tidak mengisytiharkan harta iaitu pegangan saham dalam lima syarikat.
Lima syarikat terbabit adalah Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.
Asnida didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada 13 Disember 2023 dibawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda maksimum RM100,000.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Tarikh 21 Mei ditetapkan sebagai hari sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala Asnida diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.
Asnida tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta.
Asnida yang memakai kemeja biru gelap tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada 8.40 pagi diiringi ahli keluarganya.
Asnida didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.
Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Semalam, peguam Asnida mengesahkan anak guamnya diambil keterangan bermula jam 10 pagi semalam dan selesai kira-kira lima jam kemudian di Ibu Pejabat SPRM.
Media sebelum ini melaporkan Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan perisytiharan aset.
Selain Asnida, tiga lagi anak Allahyarham Daim ialah Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.
Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Menurut SPRM, notis itu dikeluarkan selepas tiada maklum balas diterima dan usaha menghubungi keempat-empat mereka tidak berjaya, setakat 26 Februari lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

