Apple umum ambil alih MotionVFX, perkukuh ekosistem kreatif syarikat

Langkah strategik ini dilihat sebagai usaha Apple untuk menjadikan ekosistem perisiannya lebih kompetitif berbanding Adobe dan Affinity, terutamanya selepas pengenalan pelan langganan Creator Studio baru-baru ini. -Foto Amanz
Gergasi teknologi Apple secara rasmi mengumumkan pengambilalihan MotionVFX, sebuah firma terkemuka yang pakar dalam penghasilan plugin, templat dan kesan khas visual bagi perisian suntingan video profesional.
Menerusi pengambilalihan itu, kesemua 70 kakitangan MotionVFX yang berpangkalan di Warsaw, Poland akan menyertai tenaga kerja Apple bagi memperkukuh ekosistem kreatif syarikat berkenaan, lapor Amanz.
Walau bagaimanapun, Apple tidak mendedahkan nilai pelaburan bagi pengambilalihan syarikat yang diasaskan oleh Szymon Masiak pada tahun 2009 itu, termasuk status ketersediaan produk MotionVFX bagi perisian pesaing seperti DaVinci Resolve pada masa hadapan.
Langkah strategik ini dilihat sebagai usaha Apple untuk menjadikan ekosistem perisiannya lebih kompetitif berbanding Adobe dan Affinity, terutamanya selepas pengenalan pelan langganan Creator Studio baru-baru ini.
Pelan yang ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan itu memberikan akses komprehensif kepada pengguna untuk menggunakan aplikasi Final Cut Pro, Logic Pro, Pixelmator Pro, Motion, Compressor dan MainStage secara bersepadu.
Dengan integrasi kepakaran MotionVFX, Apple dijangka menawarkan lebih banyak alatan kreatif eksklusif bagi menarik minat lebih ramai penggiat kandungan digital dan profesional industri filem ke platform macOS.
Integrasi ini juga dijangka memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pelanggan sedia ada yang bergantung kepada plugin berkualiti tinggi bagi mempercepatkan proses pascaproduksi mereka.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
