Araghchi nafi ada menghubungi utusan AS, Witkoff

Araghchi menjelaskan bahawa hubungan terakhir beliau dengan Witkoff berlaku sebelum Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas. - Gambar fail
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menafikan dakwaan bahawa beliau ada menghubungi Utusan Khas Presiden Amerika Syarikat (AS), Steve Witkoff.
Dalam satu hantaran di laman X, Araghchi menjelaskan bahawa hubungan terakhir beliau dengan Witkoff berlaku sebelum Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas.
"Hubungan terakhir saya dengan Witkoff adalah sebelum majikan beliau membuat keputusan untuk menamatkan diplomasi dengan satu lagi serangan ketenteraan haram ke atas Iran.
"Sebarang dakwaan sebaliknya dilihat hanya bertujuan untuk mengelirukan pedagang minyak dan orang awam," tulis beliau.
Terdahulu, Agensi Anadolu (AA) melaporkan bahawa laman berita AS, Axios mendakwa Witkoff dan Araghchi telah bertukar mesej teks yang memfokuskan kepada usaha menghentikan peperangan.
Laporan itu mendakwa ia merupakan komunikasi langsung pertama yang diketahui sejak pertempuran meletus lebih dua minggu lepas.
Pada 28 Feb, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran yang mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei, selain mencederakan lebih 10,000 yang lain, menurut pihak berkuasa Iran.
Sejak itu, Iran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

