Atlet biathlon Norway raih gangsa, akui curang secara langsung di TV

Pengakuan Laegreid mendapat reaksi bercampur-campur, termasuk kritikan daripada bekas rakan sepasukan dan juara Olimpik lima kali, Johannes Thingnes Boe, yang mempersoalkan kesesuaian masa dan tempat pengakuan tersebut. - Foto REUTERS
Atlet biathlon Norway, Sturla Holm Laegreid, mencuri perhatian dunia sukan apabila mengaku secara terbuka telah curang terhadap teman wanitanya sejurus selepas memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina.
Laegreid, 28, yang meraih pingat individu Olimpik pertamanya dalam acara biathlon individu 20 kilometer, membuat pengakuan itu ketika temu bual secara langsung bersama penyiar awam Norway, NRK.
Beliau menyifatkan hubungan sulit yang berlaku tiga bulan lalu sebagai “kesilapan terbesar dalam hidupnya”.
“Atlet ini berkata minggu berkenaan adalah yang paling sukar dalam hidupnya selepas mendedahkan perkara itu kepada teman wanitanya yang dikenalinya sejak enam bulan lalu,” lapor media Norway.
Dalam temu bual berasingan dengan akhbar VG, Laegreid berkata beliau memilih untuk mendedahkan segalanya demi bersikap jujur dan berharap masih diberi peluang untuk memperbaiki hubungan tersebut.
Laegreid menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara dari Norway, Johan-Olav Botn, dan atlet Perancis, Eric Perrot.
Gangsa itu merupakan pingat Olimpik keduanya selepas memenangi emas acara berganti-ganti pada Sukan Olimpik 2022.
Pengakuan Laegreid mendapat reaksi bercampur-campur, termasuk kritikan daripada bekas rakan sepasukan dan juara Olimpik lima kali, Johannes Thingnes Boe, yang mempersoalkan kesesuaian masa dan tempat pengakuan tersebut.
Sementara itu, Botn mendedikasikan kemenangan emasnya kepada mendiang rakan sepasukan, Sivert Guttorm Bakken, yang ditemui meninggal dunia pada Disember lalu di Itali. Laegreid turut menyifatkan kejayaan mereka sebagai penghormatan kepada Bakken.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
