Bahagian Penguasa Angkasa sah terima maklumat objek di ruang udara Sarawak

Tangkap layar video tular penampakan objek bercahaya dipercayai jatuh dari langit melintasi ruang udara Sarawak. - Gambar/ Media sosial
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Bahagian Penguasa Angkasa (BPAngkasa) mengesahkan menerima maklumat awal mengenai penampakan objek disyaki serpihan angkasa di ruang udara Sarawak, dua hari lepas.
Dalam kenyataan hari ini, MOSTI memaklumkan setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai penemuan serpihan tersebut di darat atau perairan.
"Berdasarkan penelitian awal video tular, objek tersebut dipercayai berkemungkinan sebahagian serpihan objek angkasa namun pengesahan lanjut masih dalam siasatan.
"Pemantauan sedang dijalankan secara aktif oleh BPAngkasa dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)," menurut MOSTI.
Orang awam dinasihatkan agar tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa atau talian kecemasan 999 atau terus kepada BPAngkasa di talian 03-8885 8685 atau emel [email protected].
Baru-baru ini, tular di media sosial kandungan video berdurasi kira-kira 10 saat daripada beberapa warganet yang mendakwa penampakan objek bercahaya dipercayai jatuh dari langit melintasi ruang udara Sarawak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

