Bekalan plastik, pembungkusan lebih kritikal berbanding minyak - Pakar

Gangguan bekalan akibat krisis di Asia Barat berisiko menjejaskan kelangsungan pengeluaran barangan harian. -Gambar hiasan.
Krisis di Asia Barat bukan sahaja memberi tekanan kepada bekalan minyak dan gas, malah boleh menjejaskan bekalan plastik serta bahan pembungkusan yang menjadi komponen penting hampir semua barangan harian.
Pekara itu dinyatakan oleh Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein ketika temu bual khas di rancangan Agenda AWANI.
Beliau berkata, risiko sebenar yang sering terlepas pandang rakyat bukan sekadar harga bahan api di stesen minyak, malah gangguan terhadap rantaian bekalan bahan petrokimia yang digunakan secara meluas dalam industri makanan, perubatan dan barangan asas.
“Minyak dan gas bukan hanya untuk kenderaan. Hampir semua yang kita guna setiap hari ada unsur petrokimia dan plastik.
"Botol minuman, pembungkusan makanan, botol susu, minyak masak, kosmetik, lampin bayi, tuala wanita serta bekas penghantaran makanan semuanya bergantung kepada bahan berasaskan petroleum.
“Saya pergi ke pasar raya dua minggu lepas dan terkejut, hampir semua barangan ada unsur plastik, ada unsur minyak,” katanya.
Nurhisham menjelaskan, terdapat pengeluar industri plastik yang memaklumkan stok bahan mentah mereka hanya mampu bertahan kira-kira dua minggu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesinambungan bekalan bagi barangan asas pengguna.
Beliau berkata, setakat ini bekalan dijangka masih stabil sehingga Mei dan awal Jun, namun selepas tempoh itu Malaysia perlu mendapatkan semula sumber bahan mentah utama untuk industri plastik.
“Selepas Jun, kita kena cari sumber semula, termasuk feedstock seperti nafta dan etilena.
"Semua bahan kimia ini digunakan untuk membuat plastik dan perlu dibawa masuk ke Malaysia,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Malaysia masih mempunyai sedikit kelebihan kerana memiliki syarikat minyak nasional iaitu PETRONAS, selain kemudahan loji penapisan tempatan yang membantu menstabilkan bekalan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah tertentu masih tinggi dan memerlukan perjanjian bekalan dengan negara luar termasuk China.
Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa kerajaan kini memberi perhatian kepada bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan pembungkusan sebagai sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang gangguan bekalan global.
"Kita bernasib baik kerana dari segi hubungan antarabangsa, Malaysia berada dalam keadaan baik untuk mengadakan perjanjian bekalan dengan negara lain,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

