TMM 2026: DBKL turunkan kadar deposit cagaran konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan

Hannah berkata, keputusan itu dibuat untuk menarik lebih ramai lagi penganjur acara untuk menganjurkan program dan konsert dan aktiviti-aktiviti di Kuala Lumpur. - Gambar fail
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar deposit cagaran bagi aktiviti konsert, pertunjukan pentas dan kebudayaan sebagai sokongan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dilanjutkan hingga 2027.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kadar baharu yang akan bermula 1 Mei ini, menyaksikan cagaran bagi pertunjukan pentas atau kebudayaan melibatkan artis tempatan dikurangkan daripada RM10,000 kepada RM4,000, manakala bagi konsert ditetapkan pada RM10,000.
“Bagi artis luar negara pula, cagaran untuk pertunjukan pentas dan kebudayaan dikurangkan daripada RM30,000 kepada RM8,000, manakala bagi konsert daripada RM30,000 kepada RM15,000,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini malam Selasa.
Beliau berkata langkah itu selaras dengan penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar semua kementerian bekerjasama dalam menjayakan agenda kerajaan.
“Kita nak menarik lebih ramai lagi penganjur acara untuk menganjurkan program dan konsert dan aktiviti-aktiviti di Kuala Lumpur,” kata Hannah.
Terdahulu, dalam taklimat krisis bekalan global, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Kempen Melawat Malaysia 2026 turut dilanjutkan hingga 2027, bagi memberi ruang kepada pasaran pelancongan antarabangsa pulih, dengan sasaran 47 juta pelawat asing serta RM329 bilion pendapatan pelancongan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

