Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Mac 2026.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 13 Mac 2026.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengumumkan kerjasama hak penamaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Putra Bukit Jalil untuk tempoh tiga tahun.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebanyakan sumber import makanan negara tidak melalui laluan perkapalan utama yang terjejas, termasuk kawasan sekitar Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan kekal stabil.
Subsidi bahan api negara meningkat ketara susulan lonjakan mendadak harga minyak mentah dunia akibat konflik yang memuncak di Asia Barat, dengan perbelanjaan subsidi petrol dianggarkan naik kepada kira-kira RM2 bilion berbanding sekitar RM700 juta sebelum ini.
Semua jemaah Malaysia dilaporkan selamat selepas kebakaran di sebuah hotel di Mekah pada Khamis, menurut Kementerian Luar.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan empat akaun syarikat dan akaun perbankan milik empat individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM4 juta berhubung siasatan membabitkan isu penyelewengan tanah di Selangor.
Seramai 2,257 pengarah syarikat dihalang meninggalkan negara kerana gagal membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja mereka antara tempoh Januari hingga Disember 2025.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penyelesaian segera diambil terhadap masalah banjir dan isu bekalan air di Sarawak bagi memastikan kepentingan rakyat negeri itu terpelihara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan pertama berlaku kira-kira jam 2.35 pagi waktu tempatan pada 13 Mac 2026, dengan jarak anggaran antara 100 hingga 200 meter dari Pos Kawalan MALBATT 850-13.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa tidak berkenan terhadap penyebaran spekulasi di media sosial berhubung penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal berpegang pada prinsip bahawa kemajuan negara mesti dinikmati oleh semua lapisan rakyat, bukan hanya segelintir golongan elit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

