Bersatu gantung Ronald Kiandee, Mas Ermieyati dua penggal

Keputusan penggantungan selama dua penggal pemilihan parti itu dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu selepas kedua-dua pemimpin berkenaan didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Parti serta kod etika ahli.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini menggantung keahlian Naib Presiden Datuk Seri Ronald Kiandee, dan Ketua Srikandi Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan penggantungan selama dua penggal pemilihan parti itu dibuat oleh Lembaga Disiplin Bersatu selepas kedua-dua pemimpin berkenaan didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Parti serta kod etika ahli.
Melalui notis yang dikongsikan di media sosial, Lembaga Disiplin Bersatu memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin itu digantung selama dua penggal pemilihan, dilucutkan daripada semua jawatan parti dan dilarang mengeluarkan kenyataan bagi pihak parti sepanjang tempoh tersebut.
Tindakan disiplin ini dikaitkan dengan sokongan terbuka mereka terhadap bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang telah dipecat daripada parti bulan lalu.
Kiandee menyifatkan tindakan itu sebagai sebahagian daripada agenda pihak tertentu untuk "membersihkan" penyokong Hamzah, manakala Mas Ermieyati menyatakan beliau tidak akan merayu keputusan tersebut.
Sebelum penggantungan ini, kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan telah diberikan surat tunjuk sebab pada akhir Februari, namun mereka dilaporkan tidak memberi maklum balas sehingga tempoh tamat pada 7 Mac lalu.
Krisis dalaman Bersatu dilihat semakin meruncing selepas pemecatan 13 pemimpin parti sebelum ini, yang mencetuskan gerakan “Reset” dalam kalangan ahli.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

