BUDI95: MyKad mudah diakses, 3.1 juta transkasi sehari tanpa gangguan

Amir berkata, keberkesanan pendekatan berasaskan MyKad itu turut disokong oleh pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang merekodkan kadar penggunaan 99 peratus melalui MyKad. - Gambar fail
Sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) memproses secara purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa sebarang gangguan, dengan lebih 14.6 juta rakyat tempatan menikmati harga petrol RON95 bersubsidi setakat 11 Februari lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tahap penggunaan yang tinggi itu membuktikan sistem berasaskan MyKad adalah mudah diakses, stabil serta diterima baik oleh rakyat tanpa memerlukan aplikasi tambahan.
"Sehingga 11 Februari lalu, lebih 14.6 juta rakyat menikmati harga petrol RON95 bersubsidi di bawah BUDI95. Sistem ini memproses purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa masalah gangguan," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta penjelasan mengenai kejayaan pelaksanaan reformasi fiskal seperti BUDI95 serta rancangan kerajaan untuk mereplikasi mekanisme penyelarasan subsidi itu ke barangan lain seperti minyak masak dan gula.
Amir berkata, keberkesanan pendekatan berasaskan MyKad itu turut disokong oleh pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang merekodkan kadar penggunaan 99 peratus melalui MyKad.
Katanya, ia membuktikan pendekatan berkenaan berfungsi dengan baik dan mesra pengguna tanpa memerlukan pembangunan sistem baharu kerana rakyat hanya menggunakan kad pengenalan sedia ada.
"Pada masa sama, pengesahan berasaskan identiti warganegara membantu mengurangkan ketirisan kepada bukan warganegara," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji penggunaan MyKad untuk Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Menurutnya, penelitian lanjut turut dilaksanakan bagi meluaskan penggunaan ekosistem sedia ada berasaskan MyKad, termasuk integrasi dengan sistem SARA, bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam pemantauan penjualan minyak masak bersubsidi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

