Bunuh ibu tunggal: Reman 3 suspek disambung

Motif pembunuhan wanita terbabit dipercayai akibat cemburu namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis. - Gambar fail/Astro AWANI
Reman tiga lelaki termasuk suspek utama yang disyaki membunuh seorang ibu tunggal di Flat Sri Murni, Sungai Dua, di sini pada Rabu minggu lalu disambung antara dua hingga lima hari lagi .
Majistret Balqis Roslin membenarkan seorang suspek etnik Rohingya direman dua hari hingga 13 Februari, manakala reman dua lagi suspek warga tempatan disambung lima hari sehingga 16 Februari depan.
Ia bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 46 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah jam 11 pagi dengan berpakaian lokap berwarna jingga.
Ketiga-tiga mereka kemudian diiringi polis ke kamar mahkamah untuk mendapatkan proses sambung reman bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Motif pembunuhan wanita terbabit dipercayai akibat cemburu namun siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis.
Pada 4 Februari lalu, media melaporkan seorang wanita berusia 41 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di kediamannya di Flat Sri Murni, Sungai Dua.
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil di salah sebuah bilik dengan kesan kelar pada leher.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat satu kesan kelar pada leher mangsa yang dipercayai dilakukan menggunakan senjata tajam.
Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor, memaklumkan tiada kesan pergelutan ditemui pada tubuh mangsa, sekali gus menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

