CEO Batik Air Malaysia menghadap Tunku Besar Tampin, bincang inspirasi dan pembangunan

Tunku Syed Razman (lima dari kiri) menerima menghadap Chandran Rama Muthy (lima dari kanan), Zaharudin (dua dari kiri) serta delegasi lain pada majlis menghadap di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, kelmarin.
Kejayaan anak kelahiran Tampin menembusi persada antarabangsa menjadi kebanggaan apabila Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy, berkenan menghadap Tunku Besar Tampin, Kol. (K) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, kelmarin.
Tunku Syed Razman bertitah, kehadiran Chandran yang kini menerajui sebuah syarikat penerbangan antarabangsa membuktikan anak watan Tampin juga berupaya mencipta nama dan kejayaan di peringkat global, termasuk dalam sektor strategik seperti penerbangan.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut serta menyeru lebih ramai anak Tampin yang berjaya dalam pelbagai bidang untuk tampil berkongsi pengalaman dan kepakaran masing-masing.
“Diharapkan perkongsian kejayaan ini dapat menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada anak-anak muda serta pelajar di Tampin untuk terus berusaha gigih demi mencapai masa depan yang cemerlang,” titah baginda pada majlis menghadap di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh profesional antaranya mantan Pengurus Kanan Keselamatan Operasi PETRONAS di Iraq, Zaharudin Abd Hamid yang juga anak kelahiran Tampin.
Turut hadir Pegawai Bahagian Penterjemahan dan Bimbingan di Masjid al-Haram, Makkah al-Mukarramah, Sheikh Haji Muhammad Jamil Mujahed; Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn Bhd, Fakhrul Nazhi Hanaffi serta pengasas dan Pengarah Urusan Emreka Group Sdn Bhd, Mohd Kasarudin Suudi.
Dalam titahnya, Tunku Syed Razman turut menasihatkan anak-anak Tampin yang memegang jawatan penting dalam jabatan kerajaan dan agensi swasta agar kembali menyumbang kepakaran serta tenaga kepada pembangunan Tampin supaya daerah itu terus berkembang setanding bandar lain di dalam dan luar negara.
Sementara itu, Chandran, 46, berkata, beliau tidak pernah melupakan pengalaman membesar dan menuntut ilmu di Tampin, yang disifatkan banyak membentuk jati diri serta ketahanan mental dalam menghadapi cabaran dunia korporat antarabangsa.
“Cabaran besar termasuk konflik di Asia Barat menuntut kekuatan minda dan keupayaan menyusun semula strategi perniagaan agar terus berdaya saing,” kata graduan Teknologi Penguruan Universiti Teknologi Malaysia dan pemegang Ijazah Sarjana Teknologi Perisian Sains Komputer dari Universiti Robert Gordon, Scotland itu.
Dalam suasana santai, Tunku Syed Razman turut membawa Datuk Chandran melawat sekitar Balai Kediaman Rasmi yang menyimpan pelbagai catatan dan warisan sejarah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

