Dataran Niaga Kampung Manjoi cerminan kerjasama jitu kerajaan dan rakyat

Ini sebuah inisiatif di bawah Program Kampung Angkat Madani yang menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun dan kondusif kepada peniaga tempatan.
Pembangunan Dataran Niaga Kampung Manjoi, Perak mencerminkan kerjasama jitu antara kerajaan dan komuniti setempat mampu merancakkan ekonomi tempatan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, selaras dengan agenda Madani, LHDN akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pembangunan komuniti yang inklusif dan berimpak jangka panjang.
"LHDN akan sentiasa menyokong usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Malah, inisiatif ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara LHDN dan masyarakat setempat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, selaras dengan aspirasi negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Perasmian Dataran Niaga Kampung Manjoi, Perak, ialah sebuah inisiatif di bawah Program Kampung Angkat Madani yang menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun dan kondusif kepada peniaga tempatan.
Menerusi peruntukan berjumlah RM500,000 yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MoF), tapak Pasar Baharu Manjoi kini dinaik taraf menjadi sebuah dataran niaga berdaya saing, selesa dan selamat untuk peniaga serta pengunjung.
Kerja-kerja pembangunan bermula pada 25 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari 2026.
Projek ini dijangka memberi nafas baharu kepada kawasan Pasar Baharu Manjoi, menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dengan membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

