DeepSeek v4 bakal beroperasi guna cip Huawei

DeepSeek kini bekerjasama dengan beberapa pembangun cip tempatan untuk mereka bentuk serta mengoptimumkan kod sumber sendiri bagi memastikan prestasi optimum pada perkakasan baharu itu. -Gambar fail
MODEL kecerdasan buatan (AI) terbaharu dari China, DeepSeek v4 dilapor bakal beroperasi menggunakan cip Huawei sepenuhnya bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi dari Amerika Syarikat (AS).
Langkah strategik itu menyusul selepas kejayaan model DeepSeek v3 sebelum ini yang mencuri perhatian dunia kerana menawarkan kualiti tinggi pada kos pembangunan yang jauh lebih rendah, lapor Amanz.
DeepSeek kini bekerjasama dengan beberapa pembangun cip tempatan untuk mereka bentuk serta mengoptimumkan kod sumber sendiri bagi memastikan prestasi optimum pada perkakasan baharu itu.
Model berkenaan dijangka dilancarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Sekiranya integrasi itu berjaya memberikan prestasi setara dengan cip keluaran barat, ia bakal memperkukuh semula kedudukan Huawei dalam pasaran teknologi global.
Selain DeepSeek, beberapa gergasi teknologi China lain termasuk Alibaba, Tencent dan ByteDance dilaporkan turut membuat tempahan bagi cip Huawei akan datang.
Inisiatif itu sekali gus membolehkan firma di China terus membangunkan teknologi termaju tanpa terkesan dengan sekatan atau kebergantungan kepada bekalan cip dari AS.
Sebelum ini, DeepSeek v3 telah mencetuskan perdebatan dalam industri AI global apabila ramai mula mempersoalkan keperluan firma di AS membelanjakan berbilion ringgit bagi mencapai tahap prestasi yang sama.
Untuk rekod, DeepSeek merupakan antara pelopor teknologi AI dari China yang berjaya menempatkan diri sebagai pesaing utama kepada model AI yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat besar di Silicon Valley.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
