Tukang masak mengaku bersalah rogol anak teman wanita

Seorang tukang masak berusia 20 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya pada Februari lalu. -Gambar fail
Seorang tukang masak berusia 20 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya pada Februari lalu.
Tertuduh, S Kaveendra membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun di sebuah rumah di Taman Dato’ Undang Haji Mohammad Sharif, Rembau, antara jam 8 pagi hingga 10 pagi, antara 26 hingga 28 Februari.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh sementara menunggu hukuman dijatuhkan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 15 Jun depan untuk serahan laporan akhlak serta hukuman.
Sementara itu, seorang penjaga stor didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap teman wanitanya yang berusia 14 tahun di bawah jambatan di Kampung Esok, Kenaboi, Jelebu, pada 20 Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Amirullah Fadly Osman, 19, mengaku tidak bersalah.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Norazihah menawarkan jaminan RM30,000 kepada tertuduh dengan syarat tidak mendekati mangsa dan melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Peguam, Mohd Hanif Hassan, merayu jumlah jaminan tidak melebihi RM5,000 kerana tertuduh hanya bekerja sebagai penjaga stor.
Mahkamah menetapkan jaminan RM9,000 dan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. -Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

