Gagal sumbang PIBG: Sekolah tidak dibenar tahan sijil, dokumen rasmi murid - JPNS

JPNS akan terus memperkukuh aspek pemantauan dan memberikan peringatan kepada semua pentadbir sekolah supaya sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan. - Foto Facebook JPNS
, 15 April (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menegaskan pihak sekolah tidak dibenarkan menahan sijil atau dokumen rasmi murid atas alasan kegagalan membuat sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
JPNS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, sumbangan PIBG adalah sukarela dan tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang urusan melibatkan murid.
"JPNS mengambil maklum berhubung kandungan tular melalui platform TikTok berkaitan dakwaan penahanan sijil seorang pelajar.
“Jabatan memandang serius perkara ini dan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberikan ruang untuk siasatan dijalankan,” menurut kenyataan itu.
JPNS akan terus memperkukuh aspek pemantauan dan memberikan peringatan kepada semua pentadbir sekolah supaya sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan, sekali gus memastikan kepentingan murid sentiasa menjadi keutamaan selaras aspirasi sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan.
Terdahulu, tular perkongsian pengguna TikTok mendakwa seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di negeri ini hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi, selain wang anugerah ditahan sementara oleh sekolah akibat tunggakan yuran PIBG.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

