Penggunaan media sosial buat remaja bawah 16 tahun perlu kawalan

Penggunaan media sosial dalam kalangan remaja bawah 16 tahun kini menjadi isu kritikal apabila pelbagai kesan negatif seperti buli siber, tekanan sosial dan ketagihan permainan video semakin ketara. - Astro AWANI
Penggunaan media sosial dalam kalangan remaja bawah 16 tahun kini menjadi isu kritikal apabila pelbagai kesan negatif seperti buli siber, tekanan sosial dan ketagihan permainan video semakin ketara.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan perkembangan emosi, malah turut mendorong kepada perlakuan berisiko termasuk jenayah dalam kalangan rakan sebaya, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat.
Pensyarah Komunikasi Sosial merangkap Penganalisis Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata, salah satu cabaran terbesar adalah pengaruh algoritma yang membentuk corak pemikiran dan tingkah laku pengguna, khususnya remaja.
Menurut beliau, sistem media sosial kini menggunakan konsep “hiper-pemperibadian” yang akan memaparkan kandungan berdasarkan minat pengguna secara berulang.
“Apabila remaja terdedah kepada kandungan negatif, algoritma akan terus memperkukuh pendedahan itu sehingga mereka terperangkap dalam gelembung digital,” katanya.
Beliau menyatakan pandangan itu dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Sauffiyan berkata, keadaan ini boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan mental termasuk tekanan emosi, kemurungan dan kecenderungan tingkah laku agresif.
“Tanpa pemantauan dan kesedaran, remaja boleh hilang keupayaan menilai baik dan buruk, sekali gus mudah terpengaruh dengan kandungan tidak sihat,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekatan umur semata-mata tidak mencukupi tanpa pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh.
“Jika hanya dihalang tanpa pendidikan, mereka akan mengalami kejutan apabila terdedah sepenuhnya selepas melepasi had umur,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya masyarakat beralih daripada sekadar pengguna kepada penghasil kandungan positif.
“Kita perlu membina generasi yang bukan hanya menonton, tetapi mampu menghasilkan kandungan yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Profesor Rangkaian Komputer dan Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Zuriati Ahmad Zukarnain berpandangan bahawa algoritma media sosial perlu direka dengan mengambil kira perkembangan kanak-kanak.
Menurut beliau, penyedia teknologi mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan kandungan yang dipaparkan sesuai dengan usia pengguna.
“Algoritma yang tidak dikawal boleh mengganggu perkembangan emosi dan pemikiran remaja, terutama apabila mereka terdedah kepada kandungan tidak sesuai,” katanya.
Zuriati berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dengan bekerjasama dengan penyedia platform bagi menetapkan garis panduan kandungan yang lebih ketat.
“Penyedia teknologi wajar diberikan panduan jelas untuk memastikan kandungan yang dipromosikan selari dengan tahap kematangan pengguna,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan literasi digital dalam kalangan remaja agar mereka mampu menilai kandungan secara kritis.
“Literasi digital bukan sekadar tahu menggunakan teknologi, tetapi memahami dan menilai kesan kandungan terhadap diri,” katanya.
Jelasnya lagi, pendekatan bersepadu melibatkan sekolah, keluarga dan komuniti amat penting dalam membentuk persekitaran digital yang sihat.
“Program komuniti dan pendidikan perlu diperkukuh bagi membantu remaja membina daya tahan psikologi dan kemahiran sosial,” ujarnya.
Beliau berpandangan bahawa usaha ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi yang seimbang dari segi mental, emosi dan tingkah laku.
“Jika dilaksanakan dengan baik, kita mampu melahirkan generasi yang lebih matang, rasional dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia digital,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
