Google perkenal ciri Skills pada Chrome, simpan prom AI dengan satu klik

Melalui ciri itu, pengguna tidak lagi perlu menaip semula arahan AI yang sama secara berulang kali, sekali gus membantu mempercepat aliran kerja digital. -Foto Amanz
Google melancarkan ciri baharu dikenali sebagai Skills pada pelayar web Chrome, yang membolehkan pengguna menyimpan dan menjalankan semula prom kecerdasan buatan (AI) yang kerap digunakan dengan hanya satu klik.
Melalui ciri itu, pengguna tidak lagi perlu menaip semula arahan AI yang sama secara berulang kali, sekali gus membantu mempercepat aliran kerja digital, lapor Amanz.
Untuk mengakses prom yang disimpan, pengguna hanya perlu menekan kekunci “/” atau mengklik ikon “+” dalam Gemini in Chrome.
Skills boleh dijalankan pada tab semasa atau merentasi beberapa tab lain secara serentak, dan arahan yang disimpan turut boleh disunting mengikut keperluan.
Antara fungsi yang boleh dilaksanakan termasuk mengira jumlah kalori atau makro nutrisi dalam resipi makanan, serta membandingkan produk yang dipaparkan pada tab berbeza.
Google turut menyediakan pustaka Skills siap bina untuk kegunaan pengguna.
Ketika ini, Skills boleh diakses melalui Chrome pada sistem operasi Windows, Mac dan Chrome OS, namun ketersediaannya terhad kepada pengguna yang menetapkan bahasa pelayar kepada Bahasa Inggeris (Amerika Syarikat).
Pelancaran ciri itu mencerminkan usaha Google untuk mengintegrasikan AI generatif dengan lebih mendalam ke dalam ekosistem pelayar webnya bagi meningkatkan produktiviti pengguna.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
