GSF 2.0: Kerajaan pantau rapi keselamatan aktivis Malaysia - Amirudin

Amirudin turut meluahkan rasa bangga terhadap penyertaan para peserta dalam misi kali ini, meskipun secara lazimnya flotila sering berdepan risiko serangan oleh tentera rejim Zionis Israel. - Foto Astro AWANI
Kerajaan akan terus memantau secara rapi pergerakan pelayaran Global Sumud Flotila 2.0 yang melibatkan aktivis dari Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan para peserta yang menyertai misi kemanusiaan menuju ke Gaza sentiasa terjamin.
“Kerajaan akan terus memantau melibatkan setiap lokasi dan situasi sama ada melalui pusat kawalan (dan) semuanya berjalan dengan baik.
“Saya tahu bukan perkara mudah tetapi anda semua (peserta misi) telah melakukan perkara yang besar mewakili 34 juta rakyat Malaysia,” katanya.
Amirudin, yang juga wakil Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan perkara tersebut ketika bertemu para peserta di perairan Laut Mediterranean semasa berada di atas bot pemerhati, selepas mereka berlepas dari Pelabuhan Barcelona semalam.
Beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap penyertaan para peserta dalam misi kali ini, meskipun secara lazimnya flotila sering berdepan risiko serangan oleh tentera rejim Zionis Israel.
“Tahniah kepada delegasi Malaysia, kerajaan rasa bangga di atas pengorbanan yang tidak sia-sia ini,” katanya lagi.
Turut menyertai operasi pemantauan Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Haznah Md Hashim, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery dan barisan peguam CENTHRA.
GSF 2.0 dilancarkan dengan matlamat untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza, di samping menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terus berdepan krisis berpanjangan.
Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal serta kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia.
Sementara itu, ribuan penyokong pro-Palestin membanjiri Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan pelayaran misi berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

