Malaysia catat 3.36 juta ancaman siber berasaskan web pada 2025 - Kaspersky

Malaysia mencatat sebanyak 3.36 juta ancaman siber berasaskan web pada tahun lalu, manakala rantau Asia Tenggara merekodkan lebih 18 juta cubaan serangan berniat jahat sepanjang 2025.
Ancaman berasaskan web tersebut merangkumi laman sesawang yang telah dikompromi, muat turun berbahaya serta pelbagai vektor serangan dalam talian yang berpotensi menyebabkan akses sistem tanpa kebenaran dan kebocoran data, menurut Kaspersky.
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Adrian Hia, berkata Vietnam mencatat jumlah ancaman siber berasaskan web tertinggi di rantau ini dengan 8.44 juta kes pengesanan, diikuti Indonesia sebanyak 3.01 juta kes. Thailand dan Singapura turut merekodkan lebih satu juta serangan siber berasaskan web pada 2025.
“Walaupun jumlah ancaman web yang dikesan dan disekat terhadap pengguna perniagaan di Asia Tenggara menunjukkan penurunan, kami melihat peningkatan serangan yang menyasarkan organisasi di Singapura dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dasar serta amalan keselamatan siber dalam persekitaran korporat semakin baik dari tahun ke tahun, dengan lebih banyak organisasi memperkukuh pertahanan terhadap ancaman siber.
Menurutnya, tahap pengesanan ini turut mencerminkan keluasan penglibatan digital dalam aktiviti ekonomi dan sosial di rantau berkenaan.
Berdasarkan Forum Ekonomi Dunia, ekonomi digital Asia Tenggara kini bernilai sekitar AS$300 bilion dan dijangka berkembang kepada US$1 trilion menjelang 2030.
-- BERNAMA
TAG:

