awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Konflik Asia Barat: Eropah mungkin hanya ada enam minggu simpanan bahan api jet - IEA
TSMC unjur jualan 2026 naik lebih 30% dipacu permintaan AI
PBB perluas bantuan untuk Asia Barat
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Hafizh Syahrin gamit kecemerlangan musim baharu buat JDT Racing Team

Astro Arena
Astro Arena
16/04/2026
10:15 MYT
Hafizh Syahrin gamit kecemerlangan musim baharu buat JDT Racing Team
Musim ini, JDT mendatangkan seorang lagi pelumba sebagai gandingan buat Hafizh Syahrin dan pelumba yang dipilih itu bukan calang-calang pelumba. - StadiumAstro
TIADA siapa dapat menyangkal Hafizh Syahrin Abdullah merupakan pelumba dua roda terbaik pernah dimiliki negara.
Lapan tahun dalam Kejuaraan Dunia -- enam tahun dalam Kategori Moto2 dan dua tahun dalam Kategori Perdana MotoGP -- dia kini ibarat buah yang sedang masak ranum, sedia menuai kemuncak prestasinya dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.
Musim pertamanya di ARRC bersama JDT Racing Team tiga tahun lalu, bekas pelumba Yamaha Tech3 itu bermula dengan kukuh dengan pasukan yang baru ditubuhkan itu untuk memanjat podium sebanyak enam kali daripada keseluruhan 12 pelumbaan, termasuk dengan menjuarai perlumbaan 1 pusingan kedua di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, sekali gus tamat di tempat ketiga keseluruhan.
Tahun kedua, juga tanpa rakan sepasukan, Hafizh Syahrin benar-benar mempamerkan taringnya untuk menjuarai empat perlumbaan daripada keseluruhan lapan podium yang didakinya untuk bergelar juara keseluruhan hanya menerusi dua musim penuhnya dalam perlumbaan motosikal terbesar Asia itu.
Musim ini, JDT mendatangkan seorang lagi pelumba sebagai gandingan buat Hafizh Syahrin dan pelumba yang dipilih itu bukan calang-calang pelumba.
Andi Farid Izdihar menamatkan kedudukan bersama Honda Asia-Dream Racing Astemo selaku naib juara keseluruhan musim 2024, satu kedudukan lebih baik berbanding Hafizh Syahrin di tempat ketiga.
Bagaimanapun, bersama Astra Honda Racing Team tahun lalu, dia mengalami kemerosotan, menduduki tempat keenam keseluruhan.
Setakat dua perlumbaan pusingan pertama musim ini, gandingan dua pelumba berkenaan benar-benar menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu lalu.
Hafizh Syahrin, biarpun mengekalkan jentera musim lalu tanpa sebarang penambahan ketara, mendominasi penuh perlumbaan 1 dengan menamatkannya selaku juara dengan perbezaan 4.026s berbanding pencabar lain.
Andi pula, biarpun pada satu ketika berada di tangga ketujuh, berhasil menamatkan perlumbaan di tempat ketiga untuk mengiringi Hafizh Syahrin di atas podium.
Dalam perlumbaan 2, Hafizh terus menggegarkan SIC, kali ini dengan meninggalkan pencabar terdekat, Keito Abe, dengan jarak 4.779s. Andi juga sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Kejayaan dua pelumba itu dalam dua perlumbaan berkenaan memberikan gambaran awal dominasi yang akan diteruskan JDT berbaki lima pusingan selepas ini.
Biarpun Hafizh Syahrin dikenakan penalti 'long lap' bagi pusingan akan datang gara-gara keraian tidak masuk akalnya sewaktu memenangi perlumbaan kedua -- yang menyaksikan dia hampir bertembung dengan rakan sepasukannya Andi -- ia kelihatan tidak akan menyekat dominasinya dalam pusingan kedua di Litar Antarabangsa Chang, Buriram awal bulan depan.
Ini kerana dia awal-awal lagi telah membuktikan kemampuannya dengan memecahkan rekod sepusingan terpantas di SIC bagi kategori ASB1000 dengan catatan 2:04.355s untuk membawa pulang ganjaran bernilai 1 juta Yen (sekitar RM25,000).
Bahkan, dia pada satu ketika mendahului lawan dengan jarak 5.5s dalam perlumbaan 1 di SIC, sekali gus menunjukkan penalti berkenaan, yang mungkin merugikannya sekitar 3 hingga 4 saat, masih dapat diatasinya di Buriram.
Berdasarkan sensasi yang ditunjukkannya dalam dua perlumbaan pertama itu, ia sudah pasti menjadikan perlumbaan pusingan kedua di Buriram nanti amat menarik untuk disaksikan, khususnya untuk melihat bagaimana pelumba negara lain, seperti Zaqhwan Zaidi dan Azroy Hakeem Anuar, cuba memberikan saingan dan menyekat dominasi itu.
  • Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com
Topic Berkaitan
#JDT racing
#Hafizh Syahrin
#pelumba
#ARRC
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan