Hajiji nafi dakwaan tanah Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia

Hajiji (tiga, kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bahagian Tungku hari ini. -Foto Astro AWANI
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menafikan dakwaan kononnya kawasan seluas 127.3 hektar di Pulau Sebatik telah diserahkan kepada Indonesia, seperti dilaporkan beberapa media negara jiran.
Beliau berkata laporan berkenaan adalah tidak tepat dan tidak mencerminkan hasil sebenar rundingan sempadan di antara Malaysia dan Indonesia.
“Dakwaan itu tidak benar. Siapa yang mengatakan kita menyerahkan kawasan tersebut? Jika laporan itu datang daripada media Indonesia, ia adalah tidak tepat.
“Hakikatnya, Malaysia memperoleh kelebihan dalam rundingan ini, namun butiran lanjut tidak boleh didedahkan kepada umum,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bahagian Tungku, di sini, hari ini.
Hajiji berkata perbincangan berkaitan sempadan itu melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Ini adalah perkara diplomatik antara dua negara, jadi tidak semua perkara boleh diperincikan secara terbuka.
"Apa yang penting, Malaysia mendapat manfaat daripada hasil perbincangan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan penghargaan kerana dapat bersama masyarakat Lahad Datu bagi meraikan Aidilfitri, sambil menyifatkan majlis seumpama itu sebagai platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan kerjasama komuniti setempat.
Sebelum ini, laporan media Indonesia memetik Ketua Pejabat Staf Presiden negara itu, Muhammad Qodari, sebagai berkata kawasan berkenaan kini disahkan milik Indonesia selepas pemuktamadan penetapan sempadan darat.
Laporan itu turut menyebut penyelesaian berkenaan dicapai menerusi pendekatan diplomasi damai antara Malaysia dan Indonesia bagi memperjelas garis sempadan rasmi di Pulau Sebatik.
Bagaimanapun, pelarasan sempadan tersebut juga dilaporkan melibatkan perubahan kecil di pihak Indonesia, dengan kira-kira 4.9 hektar kawasan dimasukkan ke dalam wilayah Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

