Serangan ke atas kemudahan kesihatan Lubnan mesti dihentikan - WHO

Tedros (foto) memaklumkan sekurang-kurangnya 11 kakitangan perubatan cedera, manakala jabatan kecemasan serta peralatan hospital musnah, selain kerosakan pada unit farmasi dan klinik pesakit luar. -Gambar fail
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa perlindungan segera diberikan kepada kemudahan kesihatan, ambulans dan pesakit di seluruh Lubnan susulan serangan berterusan oleh tentera Israel.
Beliau berkata Hospital Kerajaan Tebnine, antara pusat pengurusan trauma paling sibuk di selatan Lubnan, mengalami kerosakan teruk akibat dua serangan udara pada 12 dan 14 April.
Menerusi hantaran di media sosial, Tedros memaklumkan sekurang-kurangnya 11 kakitangan perubatan cedera, manakala jabatan kecemasan serta peralatan hospital musnah, selain kerosakan pada unit farmasi dan klinik pesakit luar.
#Lebanon’s Tebnine Government Hospital, one of the busiest trauma management hospitals in the south, was damaged due to two consecutive strikes closeby on 12 and 14 April. 11 workers were injured and the emergency department, including critical equipment such as ventilators,… pic.twitter.com/FxrmxiGcmu— Tedros Adhanom Ghebreyesus (@DrTedros) April 15, 2026
Sejak konflik di antara Israel dan Hezbollah kembali memuncak pada 2 Mac, WHO merekodkan 133 serangan ke atas kemudahan kesihatan yang mengakibatkan 88 kematian dan 206 kecederaan.
Data WHO turut menunjukkan sebanyak 15 hospital dan tujuh pusat kesihatan primer mengalami kerosakan, manakala lima hospital serta 56 pusat kesihatan primer terpaksa ditutup sepenuhnya.
Tedros turut menyeru agar akses kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan diberikan di seluruh Lubnan bagi memastikan perkhidmatan menyelamat nyawa dapat disampaikan tanpa risiko kepada pemberi atau penerima rawatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
