Hampir 700,000 penduduk Lubnan hilang tempat tinggal dalam tempoh lebih seminggu - UNHCR

Amaran pemindahan dikeluarkan pada 2 Mac untuk penduduk di lebih 53 kampung serta kawasan padat penduduk. - Gambar fail
Hampir 700,000 orang hilang tempat tinggal di seluruh Lubnan dalam tempoh lebih seminggu susulan konflik yang semakin meruncing, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Karolina Lindholm Billing, wakil UNHCR di Lubnan, memberitahu pemberita di Geneva bahawa krisis itu menyebabkan keluarga hilang tempat tinggal sekelip mata akibat serangan. Amaran pemindahan dikeluarkan pada 2 Mac untuk penduduk di lebih 53 kampung serta kawasan padat penduduk.
"Kehidupan terjejas dalam skala yang amat besar," katanya.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, lebih 667,000 orang mendaftar di platform kehilangan tempat tinggal dalam talian kerajaan, iaitu peningkatan lebih 100,000 orang dalam masa sehari sahaja, dengan jumlah yang terus meningkat.
Kira-kira 120,000 orang yang hilang tempat tinggal kini berlindung di tapak kolektif yang ditetapkan oleh kerajaan, kata Billing, manakala ramai lagi tinggal bersama saudara-mara atau sedang mencari tempat berteduh selepas melarikan diri dari rumah dengan hanya membawa sedikit barangan.
Keganasan itu juga mencetuskan pergerakan rentas sempadan ke negara jiran, Syria. Pihak berkuasa Syria melaporkan yang lebih 78,000 warga Syria dan lebih 7,700 warga Lubnan memasuki Syria sejak peningkatan konflik bermula, katanya.
Billing berkata banyak keluarga hilang tempat tinggal berulang kali selepas konflik yang berlaku pada 2024, menyebabkan orang awam trauma dan ketakutan.
Wakil UNHCR itu berkata pihaknya menghantar kira-kira 168,000 barangan bantuan kecemasan kepada lebih 63,000 orang yang kehilangan tempat tinggal di lebih 270 pusat perlindungan, namun memberi amaran yang respons bantuan di Lubnan hanya menerima pembiayaan sebanyak 14 peratus.
"Setiap hari konflik berterusan, lebih banyak penderitaan dirasai ratusan ribu orang awam, manakala Lubnan dan rantau itu semakin tidak stabil," beliau memberi amaran.
"Orang awam mesti dilindungi pada setiap masa dan akses kemanusiaan yang selamat tanpa halangan mesti dijamin agar bantuan dapat sampai kepada mereka yang paling memerlukan," katanya.
-- BERNAMA-ANADOLU
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

