Harga diesel, RON97, RON95 turun mulai Khamis

Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia diturunkan sebanyak 75 sen kepada RM5.97 seliter berkuat kuasa mulai Khamis hingga Rabu depan.
Kementerian Kewangan memaklumkan, penetapan kadar baharu itu susulan harga bahan bakar berkenaan turun sebanyak 75 sen berbanding RM6.72 seliter pada minggu sebelumnya.
"Selain itu, harga petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi turut mencatat penurunan masing-masing sebanyak 25 sen bagi tempoh sama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Menurut Kementerian Kewangan, harga baharu RON97 tanpa subsidi ditetapkan pada RM5.10 seliter, manakala RON95 pula pada RM4.02 seliter.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan memaklumkan kerajaan dianggarkan menanggung sekitar RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa bahan api di pasaran global.
“Subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada kira-kira RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada sekitar RM3 bilion sebulan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi.

