IJN raih pengiktirafan antarabangsa sebagai pusat Kardiologi Sukan bertauliah di Asia

Pengiktirafan ini meletakkan IJN dalam kalangan kumpulan pusat terpilih pada peringkat global, serta menempatkan Malaysia di barisan hadapan dalam kardiologi sukan. - Gambar fail
Institut Jantung Negara (IJN) mencatat pencapaian penting pada peringkat antarabangsa apabila perkhidmatan Kardiologi Sukan di institusi itu menerima pentauliahan daripada European Association of Preventive Cardiology, sekali gus muncul sebagai pusat tunggal di Malaysia dan rantau Asia yang menerima pengiktirafan berprestij berkenaan.
IJN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengiktirafan itu diberikan kepada institusi yang memenuhi piawaian ketat Eropah dalam pencegahan, diagnosis dan pengurusan penyakit kardiovaskular dalam kalangan atlet serta individu yang aktif secara fizikal.
“Pengiktirafan ini meletakkan IJN dalam kalangan kumpulan pusat terpilih pada peringkat global, serta menempatkan Malaysia di barisan hadapan dalam kardiologi sukan, khususnya di Asia,” menurut kenyataan itu.
Data antarabangsa menganggarkan kematian jantung mengejut (SCD) dalam kalangan atlet berlaku kira-kira satu dalam 40,000 hingga satu dalam 80,000 atlet setiap tahun, lazimnya melibatkan individu yang mempunyai penyakit kardiovaskular yang tidak didiagnosis sebelum ini.
“Walaupun jarang berlaku, kejadian ini memberikan kesan besar, dan pentingnya menjalani pemeriksaan awal serta penilaian risiko yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.
Menurut IJN, acara maraton, triatlon, kejohanan berbasikal dan kecergasan kompetitif yang semakin banyak dianjurkan mendorong kemunculan kardiologi sukan sebagai subkepakaran khusus, yang menumpukan kepada keselamatan penyertaan serta kesihatan kardiovaskular jangka panjang, selaras dengan trend di Malaysia dan rantau ASEAN.
“Lebih separuh rakyat Malaysia (kira-kira 52 peratus) menyertai aktiviti sukan, senaman atau rekreasi fizikal, dengan semakin ramai beralih kepada aktiviti berintensiti tinggi dan ketahanan. Peralihan ini jelas melalui sambutan menggalakkan untuk Kuala Lumpur Marathon mislanya, yang menarik hampir 36,000 peserta setiap tahun,” menurut kenyataan itu.
Penyertaan dalam acara sukan di seluruh ASEAN terus menyaksikan peningkatan, dan disokong dasar negara yang menggalakkan gaya hidup aktif serta minat yang semakin tinggi terhadap sukan kompetitif dan yang menguji ketahanan.
“Tinjaaun tempatan juga menunjukkan bahawa serangan jantung mengejut dalam kalangan atlet rekreasi sering dikaitkan dengan penyakit jantung yang tidak didiagnosis, sekali gus mengukuhkan keperluan pemeriksaan pada peringkat awal dan rawatan khusus,” menurut IJN.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kardiologi IJN merangkap Pakar Perunding Kardiologi Datuk Seri Dr Azmee Mohd Ghazi yang mengetuai program Kardiologi Sukan berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen IJN dalam menyediakan penjagaan yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Pengiktirafan sebagai satu-satunya pusat bertauliah di Asia menzahirkan tahap ketekunan klinikal, kepakaran dan sistem yang telah kami wujudkan selama ini,” katanya.
Beliau berkata dengan lebih ramai individu melibatkan diri dalam aktiviti sukan berprestasi tinggi dan menguji ketahanan, menyaksikan keperluan untuk menjalani pemeriksaan jantung menjadi semakin penting.
“Kardiologi sukan bukan sekadar saringan, ia melibatkan ketepatan diagnosis, stratifikasi risiko yang sesuai, serta panduan bagi penyertaan sukan yang selamat. Keutamaan kami adalah memastikan atlet dapat beraksi pada tahap terbaik tanpa menjejaskan kesihatan jantung mereka,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Profesor Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata status tunggal sebagai pusat Kardiologi Sukan bertauliah EAPC di Asia meletakkan IJN selaku pusat rujukan serantau bagi kesihatan jantung atlet.
Beliau berkata sebagai pusat jantung negara, IJN bukan sekadar berperanan menyediakan rawatan, malah turut membangunkan keupayaan klinikal, mengguna pakai piawaian antarabangsa dan menyokong keperluan pesakit yang semakin berkembang, termasuk atlet serta individu aktif.
“Pada 2024, kami mengenal pasti potensi perkhidmatan kardiologi sukan di Malaysia, dan sebagai pusat rujukan nasional bagi penjagaan kardiovaskular, IJN perlu memulakan langkah ini lebih awal.
“Ini membawa kepada usaha yang menumpukan untuk menyediakan perkhidmatan, daripada aspek klinikal dan melatih pasukan kami, sehingga mencapai pengiktirafan badan antarabangsa terkemuka,” katanya.
Dr Mohamed Ezani berkata keupayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kardiovaskular, terutamanya bagi atlet dan individu aktif yang mencari rawatan serta pengurusan bertaraf antarabangsa.
“IJN sedang giat menjalinkan kerjasama dengan persatuan sukan, pasukan profesional dan komuniti kecergasan di Malaysia serta rantau ini, selain turut menerima pesakit antarabangsa yang memerlukan penjagaan pakar kardiologi sukan.
“Melalui program saringan berstruktur, inisiatif pendidikan dan laluan rawatan klinikal, IJN berhasrat memastikan prestasi terbai dapat dicapai tanpa menjejaskan kesihatan jantung,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

