awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Amaran ribut petir di KL, 11 negeri hingga 9 malam ini
Konflik Asia Barat: Orang ramai hadir upacara peringatan Khamenei di Tehran
ETCon26 pacu pelaksanaan pelan peralihan tenaga negara
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Ikon hak sivil Amerika, Jesse Jackson meninggal dunia pada usia 84 tahun

Astro AWANI
Astro AWANI
17/02/2026
21:41 MYT
Ikon hak sivil Amerika, Jesse Jackson meninggal dunia pada usia 84 tahun
Mendiang Jesse Jackson sebelum ini bergelut dengan masalah kesihatan termasuk penyakit degeneratif progressive supranuclear palsy, yang menyebabkan beliau dirawat di hospital pada November lalu. - Gambar fail Reuters
Ikon hak sivil Amerika Syarikat (AS), Jesse Jackson, meninggal dunia pada usia 84 tahun pada Selasa pagi, menurut kenyataan dikeluarkan keluarga dan organisasi yang diasaskannya, Rainbow PUSH Coalition.
Dalam kenyataan itu, Jackson dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.
Mendiang sebelum ini bergelut dengan masalah kesihatan termasuk penyakit degeneratif progressive supranuclear palsy, yang menyebabkan beliau dirawat di hospital pada November lalu.
Jackson dikenali sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam gerakan hak sivil, dan pernah berjuang di sisi Dr. Martin Luther King Jr.
Beliau turut menyertai gerakan protes era 1960-an dan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan hak pengundi serta menentang diskriminasi kaum di Amerika Syarikat.
Selain aktif sebagai pejuang hak sivil, Jackson juga tampil sebagai figura politik apabila bertanding dalam pemilihan Presiden AS bagi Parti Demokrat pada 1984 dan 1988, sekali gus membuka laluan baharu kepada calon Afrika-Amerika dalam politik arus perdana negara itu.
Mendiang Jackson juga dikenang di pentas antarabangsa atas peranannya dalam rundingan pembebasan tebusan serta advokasinya terhadap demokrasi, kebebasan dan keadilan sosial.
Presiden kulit hitam pertama AS, Barack Obama menyifatkan Jackson sebagai seorang “tokoh sebenar.”.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama isterinya, Michelle Obama, beliau berkata, “dua laluan bersejarah Jackson untuk jawatan Presiden telah meletakkan asas bagi kempen saya ke jawatan tertinggi negara.”
Obama menambah Michelle “mendapat pandangan pertama tentang kerja-kerja organisi politik di meja makan keluarga Jackson ketika beliau masih remaja.”
Pasangan itu turut merumuskan legasi Jackson: “Selama lebih 60 tahun, Jackson membantu memimpin beberapa gerakan perubahan paling signifikan dalam sejarah manusia… daripada menganjurkan boikot dan sit‑in, kepada mendaftarkan berjuta-juta pengundi, serta memperjuangkan kebebasan dan demokrasi di seluruh dunia.”
Sementara itu, Presiden Donald Trump dalam hantaran di Truth Social menulis, beliau mengenali Jackson “sebelum menjadi Presiden” dan menyifatkannya sebagai “seorang yang baik, berperibadi mulia, berani, serta mempunyai ‘kecerdikan’ … seorang yang benar-benar menyayangi manusia.”
Pasangan Bill Clinton dan Hillary Clinton turut berkongsi penghormatan dengan menyatakan mereka telah berkawan dengan Jackson selama “hampir 50 tahun” dan memuji mendiang kerana “memartabatkan maruah manusia serta membantu mewujudkan peluang kepada ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.”
Sepanjang kerjayanya, Jackson menerima pengiktirafan meluas termasuk lebih 40 ijazah kehormat daripada universiti terkemuka, selain Anugerah Pingat Kebebasan Presiden pada 2000.
Keluarganya menyeru orang ramai menghormati memori Jackson dengan meneruskan perjuangannya menegakkan keadilan dan kesaksamaan. - Agensi
Topic Berkaitan
#Jesse Jackson
#ikon hak sivil
#meninggal dunia
#Rainbow PUSH Coalition.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan