Konflik Asia Barat: Orang ramai hadir upacara peringatan Khamenei di Tehran

Orang ramai berkumpul di Tehran pada Khamis bagi menghadiri upacara memperingati Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari. - Foto REUTERS
Orang ramai berkumpul di Tehran pada Khamis bagi menghadiri upacara memperingati Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 28 Februari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Televisyen negara menyiarkan rakaman dari pusat bandar metropolis itu yang menunjukkan orang ramai berkabung atas pemergian bekas pemimpin agung itu.
Upacara itu diadakan sempena berakhirnya tempoh berkabung selama 40 hari, yang merupakan tradisi Islam Syiah.
Penganjur dengan sengaja memilih waktu 9.40 pagi (0610 GMT) untuk perarakan di Tehran bermula, bertepatan dengan waktu Israel mengebom kediaman rasmi Khamenei di ibu negara Iran pada hari pertama perang.
Satu majlis solat untuk Khamenei dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Tehran, namun masih belum jelas siapa yang akan memimpinnya.
Anak beliau dan penggantinya, Mojtaba Khamenei, tidak muncul di khalayak sejak dilantik sebagai pemimpin agung pada awal Mac.
Terdapat juga spekulasi mengenai tahap kesihatannya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth, sekali lagi mendakwa pada Rabu bahawa pemimpin baharu itu “mengalami kecederaan”.
Masih belum jelas bila Khamenei akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad, di timur laut Iran.
-- BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

