Impian Piala Asia terkubur, Cklamovski tetap bertekad bawa Malaysia ke Piala Dunia

Pengendali dari Australia itu berkata kegagalan itu amat perit, namun visi jangka panjangnya tidak pernah berubah untuk membawa Malaysia ke pentas Piala Dunia.
“Saya benar-benar telah jatuh cinta dengan negara ini. Peluang bekerja bersama pemain dan barisan kejurulatihan merupakan pengalaman amat bermakna. Kira-kira 12 bulan lepas, saya duduk di sini buat pertama kali di hadapan anda (media) dan menyatakan terdapat visi jangka panjang untuk layak ke Piala Dunia.
“Turut dinyatakan mengenai sasaran jangka pendek, layak ke Piala Asia. Namun, perkara itu dirampas sepenuhnya daripada kami disebabkan faktor di luar bola sepak yang bukan dalam kawalan kami,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan di sini hari ini.
Skuad negara kini dalam rangka persiapan bagi mengharungi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Ninh Binh, 31 Mac depan.
“Ya, situasinya sedikit berbeza, namun pada asasnya saya dimaklumkan bahawa pendaftaran Bergson dan Giancarlo tidak sempat diselesaikan untuk membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan itu. Jadi, sebagai ketua jurulatih, keputusannya mudah, mereka tidak tersedia untuk dipilih.
“Nacho Mendez (JDT) pula, saya rasa semua telah melihat beliau mengalami kecederaan dalam perlawanan terakhirnya beberapa hari lepas, jadi sekali lagi keputusan mudah bagi saya, beliau tidak dapat diturunkan akibat kecederaan,” katanya.

