My Warriors Run 2026: Larian amal hargai pengorbanan pahlawan negara

My Warriors Run 2026 akan diadakan pada Ahad, 7 Jun 2026, bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Program MyWarriors Run 2026 (MWR 2026) merupakan aktiviti penutup dalam mendapatkan sumbangan awam di bawah Program Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026.
Sesi sumbangan ini telah bermula pada 1 Ogos 2025 dan akan berakhir pada 31 Julai 2026.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan di bawah Program KTP bagi memangkin tahap kesedaran, semangat perpaduan rakyat Malaysia dan patriotisme melalui aspek penghargaan atas jasa perwira-perwira negara berlandaskan konsep CSR dan Whole of Government and Whole of Society (WOGOS).
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki, program My Warriors Run 2026 bukan sekadar larian, bahkan sebagai simbol solidariti seluruh rakyat Malaysia melalui acara yang bermanfaat, menyeronokkan dan memberi makna dalam kehidupan.
Selain itu, program ini menyemai budaya keseronokan dalam beramal dan menghargai semua yg berjasa selaras dengan tema ‘1 Rakyat, 1 Ringgit-Demi Pahlawanku’. (2R, DP).
"Antara objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memupuk kesedaran serta sokongan berterusan masyarakat agar sentiasa menghargai jasa pahlawan dan wira negara. " katanya dalam temubual AWANI Pagi, pada Isnin.
Di samping itu, program ini bertujuan mengukuhkan kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pemain industri dalam meningkatkan sumbangan kepada Tabung Pahlawan, selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan konsep “Rakyat Disantuni”.
Dalam masa yang sama, membantu penerapan budaya dan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui penglibatan dalam aktiviti riadah dan ibadah sebagai satu pendekatan holistik dalam membina masyarakat yang seimbang dari segi fizikal dan rohani.
"My Warriors Run 2026 akan diadakan pada Ahad, 7 Jun 2026, bertempat di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersebelahan Tower 1 DBKL. Acara ini menggunakan konsep Charity Fun Run dengan jarak maksimum larian sejauh tujuh kilometer, bermula dan berakhir di lokasi yang sama bagi memudahkan pergerakan serta penyertaan orang ramai."
Penyertaan adalah terbuka kepada dua kategori, iaitu kategori individu dengan yuran penyertaan sebanyak RM40 bagi peserta berumur 13 tahun ke atas dan kategori keluarga dengan bayaran sebanyak RM120 sahaja untuk empat peserta yang merangkumi dua orang dewasa dan dua orang kanak-kanak.
Manakala, kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun yang hadir bersama keluarga, boleh menyertai program ini secara percuma.
Mejar Jeneral Datuk Semaon turut memaklumkan bahawa setiap peserta yang mendaftar akan menerima jersi rasmi larian, nombor bib peserta, pingat edisi terhad MWR 2026 serta beg cenderahati eksklusif sebagai tanda penyertaan dan penghargaan.
Setiap peserta yang mendaftar melalui platform rasmi Checkpointspot Asia juga berpeluang memenangi lebih daripada 100 unit hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah yang disediakan.
Antaranya termasuklah basikal elektrik, televisyen pintar bersaiz 55 inci, tablet dan telefon mudah alih serta pelbagai peralatan elektrik dan elektronik lain.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang Checkpointspot Asia atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan. Tarikh tutup pendaftaran bagi Program My Warriors Run 2026 adalah pada 3 Mei 2026, Ahad.
Maklumat lanjut mengenai MWR 2026 boleh diperoleh melalui laman rasmi www.jhev.gov.my dan www.mod.gov.my, serta menerusi media sosial rasmi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) di platform Facebook, TikTok, Instagram dan X.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

