Iran kembali perketat kawalan Selat Hormuz - IRGC

Selat Hormuz merupakan laluan strategik utama dunia yang mengendalikan sebahagian besar aliran minyak dan gas global. - Gambar/ Reuters
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa Selat Hormuz kini telah “kembali ke keadaan asalnya”, susulan tindakan sekatan berterusan Amerika Syarikat ke atas pelabuhan Iran yang didakwa menjejaskan kebebasan pelayaran.
Dalam kenyataan yang dipetik oleh penyiar rasmi kerajaan Iran, Perbadanan Penyiaran Republik Islam Iran (IRIB), IRGC menuduh Amerika Syarikat meneruskan tindakan lanun dan kecurian maritim dengan menggunakan alasan sekatan yang disifatkan tidak sah.
“Oleh itu, kawalan Selat Hormuz telah kembali ke keadaan asalnya dan laluan perairan strategik ini kini berada di bawah pengurusan serta kawalan ketat angkatan tentera,” menurut kenyataan itu.
IRGC turut menegaskan status tersebut akan kekal sehingga kebebasan pelayaran dipulihkan sepenuhnya bagi kapal-kapal yang bergerak dari dan ke Iran.
Selat Hormuz merupakan laluan strategik utama dunia yang mengendalikan sebahagian besar aliran minyak dan gas global, sekali gus menjadikannya tumpuan ketegangan antarabangsa.
Semalam, Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi mengumumkan Selat Hormuz kembali beroperasi tanpa sekatan untuk laluan komersial sepanjang tempoh gencatan senjata, sekali gus meredakan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap gangguan bekalan minyak global.
Menurut Abbas, kapal-kapal melalui Selat Hormuz akan menggunakan laluan yang telah diselaraskan, seperti diumumkan sebelum ini oleh Pertubuhan Pelabuhan dan Maritim Iran.
Jelasnya lagi, perkara itu adalah selaras dengan gencatan senjata di Lubnan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kemudian menyambut baik pengumuman itu dan menyifatkannya sebagai langkah positif terhadap kestabilan laluan maritim global.
Trump bagaimanapun menegaskan sekatan ketenteraan Amerika Syarikat terhadap Iran masih berkuat kuasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
