Iran sedia bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas Lubnan - IRGC

IRGC menegaskan, "jika pencerobohan terhadap Lubnan tidak dihentikan segera, kami akan tunaikan tanggungjawab dan memberi tindak balas yang pasti disesali." - AP
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengumumkan bahawa Iran sedang menyediakan “tindakan balas yang pasti disesali’’ selepas serangan terbaharu Israel ke atas Lubnan, sambil memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas Hizbullah adalah serangan terhadap Iran, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Beberapa jam sahaja selepas gencatan senjata diusahakan Pakistan diumumkan, yang turut termasuk permusuhan terhadap Lubnan, serangan udara Israel ke atas Beirut dan kawasan sekitarnya meragut nyawa sekurang-kurangnya 112 orang serta mencederakan 837 orang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Brigadier Jeneral Majid Mousavi, ketua Pasukan Aeroangkasa IRGC, menulis di media sosial bahawa lapangan telah bersedia untuk tindakan balas berat.
“Serangan ke atas Hizbullah adalah serangan ke atas Iran,” kata Mousavi.
“Lapangan sedang menyiapkan tindak balas berat terhadap jenayah kejam rejim itu. Rakyatku yang dikasihi, bahan api sebenar peluru berpandu adalah kehadiran bersatu kamu di jalanan.”
Dalam kenyataan berasingan, IRGC secara langsung menegur kedua-dua AS dan Israel.
“Belum pun beberapa jam selepas gencatan senjata, rejim Zionis yang kejam, yang sering membunuh orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita, memulakan serangan kejam di Beirut,” kata IRGC.
“Kami memberi amaran keras kepada AS yang khianat dan rakan kongsinya; jika pencerobohan terhadap Lubnan tidak dihentikan segera, kami akan menunaikan tanggungjawab dan memberikan tindak balas yang pasti disesali kepada penceroboh jahat di rantau ini.”
Serangan Israel menyasarkan kawasan perumahan di Beirut dan pelbagai kawasan di selatan Lubnan, meratakan bangunan dan menimbus keluarga di bawah runtuhan.
Pasukan penyelamat terus mencari mangsa yang terselamat hingga larut malam.
Gencatan senjata dua minggu antara Iran dan AS diumumkan lebih awal pada Rabu, susulan 100 gelombang serangan balas Iran di bawah Operasi True Promise 4.
-- BERNAMA-MNA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

