Iran tutup perniagaan swasta selepas protes besar-besaran

Penutupan itu melibatkan restoran, kafe, galeri seni dan beberapa kedai popular yang sering menjadi lokasi berkumpul anak muda di pusat dan utara Tehran. - Foto AP
Pihak berkuasa Iran menutup sejumlah perniagaan swasta di Tehran susulan protes besar-besaran yang berlaku akhir Disember lalu, ketika ekonomi negara itu terus merudum dan ketegangan diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS) berlarutan, lapor Al Jazeera.
Penutupan itu melibatkan restoran, kafe, galeri seni dan beberapa kedai popular yang sering menjadi lokasi berkumpul anak muda di pusat dan utara Tehran.
Pihak polis tidak memberi penjelasan terperinci, namun kebanyakan premis dipercayai telah menyertai mogok atau menyatakan sokongan terhadap protes tersebut melalui media sosial.
Notis yang dikeluarkan kepada perniagaan berkenaan menyatakan kandungan media sosial mereka “melanggar peraturan negara dan tidak mematuhi arahan polis”.
Tokoh Perniagaan Ditahan, Aset Dirampas
Media tempatan turut menyiarkan surat pengakuan yang didakwa ditandatangani oleh tokoh perniagaan Mohammad Ali Saedinia, 81, yang memiliki rangkaian kafe dan jenama makanan terkenal di negara itu.
Beliau disahkan ditahan selepas protes, semua perniagaannya ditutup dan asetnya dirampas untuk “membayar ganti rugi kerosakan” semasa demonstrasi.
Saedinia dalam surat itu memohon maaf dan menyatakan anaknya telah “tersilap” apabila mengumumkan penutupan kedai selaras dengan mogok peniaga di Tehran.
Angka Kematian Dipertikaikan
Kerajaan Iran mendakwa 3,117 orang terbunuh, sambil menuduh “pengganas” yang didakwa disokong AS dan Israel bertanggungjawab terhadap keganasan serta kerosakan harta awam.
Namun organisasi hak asasi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka telah merekodkan penggunaan kekerasan yang meluas terhadap penunjuk perasaan, termasuk kanak-kanak, serta laporan serbuan ke atas hospital dan penahanan petugas perubatan.
Menurut Human Rights Activists News Agency (HRANA) yang berpangkalan di AS, sekurang-kurangnya 6,964 kematian telah disahkan dengan 11,730 kes lain masih disiasat, manakala Pelapor Khas PBB Mai Sato berkata jumlah sebenar mungkin melebihi 20,000 kematian berikutan sekatan internet yang ketat oleh kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

