Jangan beli beras melebihi keperluan bulanan – Mohamad Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Majlis Perasmian program Gelombang Padi Sarawak: SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di Dewan Sri Nangkai Gran Stumbin, Sri Aman, hari ini. - Foto BERNAMA
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli beras melebihi keperluan bulanan memandangkan bekalan bahan makanan itu di negara ini kekal stabil, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata pembelian secara panik susulan krisis di Asia Barat boleh memberi gambaran seolah-olah berlaku kekurangan bekalan di pasaran walaupun bekalan sebenarnya mencukupi.
“Kalau kebiasaan kita makan dua kampit beras sebulan, kekalkan dua kampit itu. Jangan beli sampai empat atau lima kampit kerana pembelian panik boleh menyebabkan kemerosotan bekalan di pasaran dan akan ada peniaga yang naikkan harga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Gelombang Padi Sarawak: SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan IADA Batang Lupar 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin di sini, hari ini.
Mohamad berkata kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan beras negara mencukupi dan dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya hingga hujung tahun ini.
“Beras kita insya-Allah tidak ada masalah sekurang-kurangnya sampai hujung tahun ini dengan harga yang ada sekarang, jadi saya ingin tegaskan sekali lagi jangan ada pembelian panik,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

