Jangan kelirukan rakyat, negara masih teguh hadapi cabaran krisis Asia Barat – Tengku Zafrul

Justeru, katanya, orang ramai tidak seharusnya dikelirukan dengan dakwaan bahawa kerajaan tidak membuat persediaan sewajarnya atau menjadikan isu berkenaan sebagai bahan politik.
Beliau berkata antara langkah yang diambil kerajaan termasuklah usaha penjimatan serta mengekalkan subsidi bahan api bagi mengurangkan tekanan kos kepada rakyat.
“Ia melibatkan subsidi kerajaan dan jika tidak diberikan, harga minyak akan naik. (Langkah) ini menunjukkan keprihatinan kerajaan,” katanya pada Program Singgah Sahur bersama pasukan petugas barisan hadapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, awal pagi tadi.
Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata setakat ini kerajaan telah mengadakan dua mesyuarat Jemaah Menteri bagi membincangkan persiapan menghadapi kesan krisis di Asia Barat.
Setiap kementerian juga telah diminta membuat persediaan awal bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya krisis tersebut berpanjangan.
“Kalau lihat dari sudut ekonomi, kedudukan negara masih kukuh kerana dua hingga tiga tahun kebelakangan ini kita telah memperkukuh economic fundamentals (asas ekonomi),” katanya.
Beliau berkata pengalaman ketika harga minyak dunia melonjak pada 2022 menunjukkan kerajaan berupaya mengekalkan subsidi tanpa membebankan rakyat.
Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengekalkan subsidi bahan api walaupun harga minyak dunia naik mendadak ketika ini, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.
Sehubungan itu, Tengku Zafrul menasihatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan situasi semasa yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Saya menasihatkan pada pihak tertentu, janganlah kita kelirukan rakyat dan janganlah mempolitikkan semua isu ini kerana kalau kita lihat berbanding negara lain, negara kita dalam keadaan yang lebih kukuh untuk menghadapi cabaran ini,” katanya.
Pada 11 Mac lepas, Anwar menerusi sidang media khas berkaitan perkembangan konflik Asia Barat berkata keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dengan harga subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran jauh lebih tinggi.
Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan di Asia Barat dan merancang langkah seterusnya untuk memastikan kepentingan rakyat serta negara terus terpelihara.
Terdahulu, Tengku Zafrul menyampaikan lebih 300 pek dan bakul makanan kepada petugas barisan hadapan di IPD Ampang Jaya, Balai Polis Pandan Indah, Balai Bomba dan Penyelamat Pandan serta Hospital Ampang.
-- BERNAMA

