Kerajaan peruntuk RM2 bilion sebulan kekalkan RON95 pada RM1.99 - PM

Anwar ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini hari ini. - Foto Sinar Harian
Kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM2 bilion sebulan bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter menerusi inisiatif Budi MADANI RON95 berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata pengekalan harga itu dijangka melibatkan subsidi keseluruhan RM24 bilion setahun yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan rakyat tidak terbeban susulan peningkatan harga minyak dunia ketika ini.
Perdana Menteri berkata selain mengekalkan petrol RON95 pada paras antara yang termurah di dunia, kerajaan juga masih menanggung subsidi diesel di Sabah dan Sarawak yang ditetapkan pada RM2.15 seliter berbanding kos sebenar RM4.30.
"Tahun lepas, subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak ialah RM2 bilion... tetapi setakat tahun ini, selepas perang dan harga melonjak, kerajaan perlu membayar (anggaran jika harga semasa kekal) RM4.6 bilion (setahun) bagi menampung subsidi diesel di kedua-dua negeri.
"Ini kita lakukan... Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sendiri telah memohon supaya rakyat Sabah yang susah tidak dibebankan (dengan peningkatan kos pengangkutan)," katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Hajiji, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Mengulas lanjut mengenai lonjakan harga minyak semasa, Anwar berkata ia berpunca daripada krisis geopolitik di Asia Barat, dan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka membantah sekeras-kerasnya campur tangan tentera serta serangan Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.
“Ketegangan itu telah menyebabkan penutupan Selat Hormuz yang mengakibatkan kapal dagang antarabangsa terkandas sekali gus melonjakkan kos pengangkutan dan insurans rantaian bekalan global,” katanya.
Meskipun berdepan krisis luaran, Perdana Menteri bersyukur kerana Malaysia kekal aman, makmur dan menjadi contoh negara bersederhana sehingga pemimpin negara lain turut menghubungi Malaysia bagi mendapatkan pandangan ke arah penyelesaian konflik tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat agar mendalami erti sebenar sambutan Hari Pengguna Kebangsaan dan juga bulan Ramadan dengan menjadi pengguna yang bijak.
Anwar menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan yang menjurus kepada perbelanjaan berlebihan sebaliknya mengamalkan kesederhanaan dan sentiasa beringat untuk membantu nasib golongan miskin.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tentang nasihat pakar ekonomi berhubung teori conspicuous consumption (penggunaan ketara), iaitu kecenderungan pengguna membeli barangan yang tidak perlu dan di luar kemampuan akibat terpukau dengan hebahan pemasaran serta sentimen berbanding keperluan sebenar keluarga.
“Kerajaan sentiasa aktif memanfaatkan platform seperti Hari Pengguna Kebangsaan untuk mendidik dan memberi pencerahan kepada masyarakat agar mereka mampu membuat penilaian yang rasional sekali gus memilih barangan pada kos lebih rendah namun dengan mutu yang baik,” katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

