Johor sedia kekal peneraju FDI, perkukuh rangka kerja JS-SEZ

“Apa yang penting kini ialah Johor perlu mengekalkan momentum dan terus menjadi destinasi pilihan pelabur.
“Kita bukan sahaja bercakap mengenai usaha menarik pelaburan baharu, malah memperkukuh dan mengembangkan pelaburan sedia ada. JS-SEZ akan menangani ketidaktentuan serta menyediakan rangka kerja yang jelas kepada pelabur,” katanya ketika berucap pada Asia Summit on Advanced Innovation & Manufacturing 2026, di sini hari ini.
Hasni berkata RTS Link, yang dijadual mula beroperasi pada Januari 2027, dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala, sekali gus berpotensi mengubah corak perjalanan di satu daripada lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia.
Laluan berkenaan kini merekodkan kira-kira 300,000 pergerakan harian, termasuk 100,000 penunggang motosikal.
“Kita tidak boleh berdepan sebarang gangguan dalam sistem, sama ada pelepasan kod QR, kargo digital mahupun RTS itu sendiri.
“Semua inisiatif ini mesti berfungsi dengan lancar bagi menyokong peningkatan pergerakan rentas sempadan,” katanya.
Hasni, yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor Singapura (JETCO), berkata penambahbaikan ketersambungan itu berpotensi mengubah trend perjalanan ulang-alik, dengan pergerakan dua hala antara Johor dan Singapura dijangka meningkat susulan sistem perjalanan yang lebih cekap.
Dari sudut perindustrian, Hasni berkata Johor kini menempatkan jumlah pusat data terbesar di Asia Tenggara, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI negeri pada tahun lepas.
Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan tinggi sektor itu terhadap bekalan elektrik dan air menimbulkan cabaran dari segi kelestarian, khususnya dalam konteks perubahan iklim dan kekangan sumber.
“Kita perlu beralih daripada kebergantungan kepada tenaga berasaskan arang batu kepada tenaga boleh baharu bagi memastikan Johor terus kekal menarik kepada pelabur, di samping menjamin kelestarian jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan Pusat Kelestarian Johor bagi memacu inisiatif hijau serta penggunaan teknologi untuk menyokong peralihan tersebut, selain menggalakkan industri meningkatkan kecekapan tenaga.

