awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Konflik Asia Barat: Malaysia-Australia teliti langkah segera pastikan bekalan tenaga kekal stabil
Hajiji nafi dakwaan tanah Pulau Sebatik diserah kepada Indonesia
Australia-Malaysia mahu usaha redakan konflik di Asia Barat, gencatan senjata kekal
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Kebakaran kilang penapisan Australia jejas pengeluaran petrol di tengah gangguan bekalan Asia Barat

Astro AWANI
Astro AWANI
15/04/2026
23:37 MYT
Kebakaran kilang penapisan Australia jejas pengeluaran petrol di tengah gangguan bekalan Asia Barat
Kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya, jadi masih ada perjalanan yang panjang. - Foto X/Volcaholic
Kebakaran yang berlaku di salah satu daripada dua kilang penapisan minyak yang masih beroperasi di Australia dijangka memberi kesan lebih besar terhadap pengeluaran petrol berbanding diesel dan bahan api penerbangan, menurut pihak berkuasa pada Khamis, ketika pasukan kecemasan terus berusaha memadamkan kebakaran tersebut.
Anggota bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran yang tercetus di unit pengeluaran petrol syarikat Viva Energy di kilang penapisan Geelong, negeri Victoria, yang memproses minyak mentah kepada petrol.
Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini daripada kejadian yang mula disedari oleh pihak kecemasan sekitar jam 11 malam Rabu (1300 GMT).
“Kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya, jadi masih ada perjalanan yang panjang.
"Ini bukan perkembangan yang positif, namun masih terlalu awal untuk menilai kesan keseluruhannya,” kata Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen, kepada Channel Nine.
Insiden itu berlaku ketika Australia sedang berusaha memperkukuh keselamatan bekalan bahan api susulan gangguan bekalan global akibat konflik di Asia Barat, yang turut mencetuskan pembelian panik petrol dan diesel di peringkat tempatan.
Perdana Menteri, Anthony Albanese, dijadualkan mengadakan lawatan ke Malaysia pada Khamis bagi membincangkan usaha mendapatkan bekalan bahan api daripada rakan serantau.
“Pada peringkat ini, pengeluaran bahan api penerbangan dan diesel masih diteruskan di kilang penapisan itu pada kadar yang lebih rendah atas faktor keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kesan utama adalah kepada pengeluaran petrol, namun ini masih peringkat awal,” kata Bowen.
Ketua Pegawai Eksekutif Viva Energy, Scott Wyatt, berkata keutamaan utama syarikat adalah memadamkan sepenuhnya kebakaran yang menjejaskan operasi di dua unit kilang sebelum menilai tahap kerosakan dan memulihkan pengeluaran secara selamat.
“Semua unit lain masih beroperasi dan dalam pengeluaran, tetapi pada kadar minimum bagi memastikan keselamatan di seluruh tapak,” kata Wyatt kepada pemberita.
“Kami hanya akan meningkatkan semula pengeluaran apabila yakin ia boleh dilakukan dengan selamat.”
Kilang penapisan Geelong, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Melbourne, mampu memproses sehingga 120,000 tong minyak sehari.
Ia membekalkan lebih separuh keperluan bahan api di negeri Victoria dan kira-kira 10 peratus daripada jumlah permintaan nasional Australia.
Pihak berkuasa bomba memaklumkan tiada ancaman terhadap keselamatan awam, walaupun asap mungkin menjejaskan beberapa kawasan berhampiran, selain sekatan trafik yang masih dikuatkuasakan.
Pasukan kecemasan digerakkan selepas menerima beberapa panggilan melaporkan letupan dan api di kawasan kilang.
Tahap kerosakan sebenar masih belum dapat dipastikan, namun insiden ini berlaku ketika kebimbangan terhadap bekalan bahan api Australia semakin meningkat susulan tindakan Iran yang hampir menutup Selat Hormuz selepas diserang Amerika Syarikat dan Israel.
Bulan lalu, Albanese mengumumkan langkah bantuan sementara termasuk pengurangan separuh cukai eksais bahan api serta penggantungan caj pengguna jalan berat selama tiga bulan bagi membantu isi rumah menangani peningkatan kos yang didorong oleh perang melibatkan Iran.
Topic Berkaitan
#kebakaran
#kilang penapisan minyak
#Viva Energy
#konflik Asia Barat
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan