Kemboja semak semula harga bahan api, Hun Manet beri amaran penyeludupan rentas sempadan

Hun Manet memberi amaran bahawa tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam penyeludupan bahan api rentas sempadan ke negara itu. - Gambar fail/Reuters
Kementerian Perdagangan Kemboja menyemak semula harga bahan api utama, dengan diesel mencecah paras tinggi 8,100 riel (RM8.19), ketika krisis tenaga global berlarutan.
Pelarasan harga terbaharu yang berkuat kuasa pada Sabtu mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 110 peratus berbanding 3,850 riel (RM3.87) seliter bagi diesel sebelum konflik Asia Barat bermula pada Februari.
Harga petrol biasa (Gasoline 92) pula ditetapkan pada 5,500 riel atau RM5.05 seliter.
Harga gas petroleum cecair (LPG) meningkat kepada 3,900 riel, atau RM3.94 seliter, menurut kementerian itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada tengah malam Jumaat.
Semakan harga itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Hun Manet berkata Kemboja mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk memenuhi permintaan domestik dan tidak perlu mengimport dari negara jiran Thailand.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit dalam penyeludupan bahan api rentas sempadan ke negara itu.
“Jika mana-mana syarikat minyak terlibat, lesen mereka mesti dibatalkan. Jika mana-mana penjawat awam atau anggota Angkatan Tentera Kemboja terlibat, mereka akan ditamatkan perkhidmatan dan dibuang serta-merta daripada perkhidmatan, tanpa mengira pangkat,” kata Manet dalam hantaran di laman Facebook rasminya pada 3 April.
Kenaikan harga bahan api sejak kebelakangan ini, khususnya diesel dan LPG dijangka memberi kesan kepada sektor pengangkutan, makanan dan minuman, serta isi rumah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

