Kementerian Ekonomi perkukuh IPR, sasar 600 peserta tahun 2026 - Akmal Nasir

Kementerian Ekonomi (KE) terus memperkukuh Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan sasaran baharu menjelang tahun 2026 dan akan menambah bilangan peserta dalam program berkenaan. Gambar/ Astro AWANI
Kementerian Ekonomi (KE) terus memperkukuh Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan sasaran baharu menjelang tahun 2026 dan akan menambah bilangan peserta dalam program berkenaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menegaskan sasaran tahun ini untuk menambah sekitar 500 hingga 600 peserta baharu termasuk dalam aktiviti ekonomi komuniti seperti pertanian moden dan bandar.
Jelas beliau, langkah ini bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat untuk terlibat dalam sektor pertanian sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.
“Bagi kawasan Putrajaya sendiri, kita melihat masih ada ruang untuk ditambah. Kementerian Ekonomi akan menilai permohonan daripada IPR Putrajaya untuk memastikan lebih ramai peserta dapat dilibatkan,” katanya ketika lawatan ke tapak projek IPR di Putrajaya pada Jumaat.
Akmal memaklumkan, setakat ini, permohonan yang diterima sedang diteliti berdasarkan beberapa faktor termasuk kesesuaian peserta, lokasi kawasan, pemilikan tanah serta aspek pemasaran hasil.
“Kejayaan program bukan sekadar bergantung kepada pemberian geran, tetapi kepada ekosistem yang menyokong peserta untuk benar-benar berjaya sebagai petani kecil,” katanya.
Beliau turut memberi contoh kelebihan logistik di Putrajaya yang mendapat sokongan daripada pertubuhan peladang di Kuala Langat yang menyediakan pusat pengumpulan hasil.
“Ini membolehkan isu pemasaran dan pengangkutan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Dalam lawatan pada hari ini, Akmal turut berkongsi kisah peserta IPR Mohd Azimi Kassim, 72 atau dikenali sebagai Pak Ngah yang menyertai program kerana masih berusaha mencari pendapatan selepas bersara tanpa pencen.
“Ini membuktikan bahawa dengan ikhtiar dan kesungguhan, program IPR mampu berjaya.
“Peserta fasa pertama yang bermula sejak 2023 kini boleh berperanan sebagai mentor untuk membimbing peserta baharu,” jelas beliau.
Sementara itu, Kementerian Ekonomi yakin bahawa sasaran 2026 akan dapat dicapai dengan sokongan ekosistem yang mantap, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat serta kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

