Keputusan kes ibu tampar guru ditangguh 8 Mac ini

Tan Seow Yen, 34, hadir di Mahkamah Majistret Jawi hari ini untuk mendengar keputusan berhubung kes beliau menampar pipi seorang guru pada 2 Februari 2015. - Foto Bernama
Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini menangguhkan keputusan kes seorang ibu yang didakwa menampar pipi kiri seorang guru wanita dua tahun lalu kepada 8 Mac ini.
Majistret, Shamshol Azwa Martadza membuat keputusan itu bagi membolehkan pihak pembelaan mengemukakan hujahan bertulis kepada pihak mahkamah.
Mengikut pertuduhan Tan Seow Yen, 34, didakwa telah mencederakan dengan cara menampar muka seorang guru wanita di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Kuang di Sungai Bakap jam 5.15 petang pada 2 Februari 2015 lalu.
Seow Yen, didakwa menampar guru berkenaan selepas mendakwa anak lelakinya yang berusia sembilan tahun telah dicubit guru berkenaan.
Kes disiasat di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaaan, sabit kesalahan boleh dipenjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Afiq Nasrin Zaharinan manakala Seow Yen diwakili peguam, Datuk Naran Singh.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

