Kerajaan teliti kebolehlaksanaan Peguam Negara, Pendakwa Raya bertanggungjawab kepada Parlimen

Azalina berkata Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kebolehlaksanaan untuk menjadikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertanggungjawab kepada Parlimen, seiring usaha untuk memisahkan kedua-dua peranan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu ialah isu dasar yang memerlukan penelitian mendalam serta kajian menyeluruh dari segi implikasi perundangan, struktur institusi dan tadbir urus.
"Oleh itu, perkara ini antara elemen yang sedang diteliti oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal pada masa ini," katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai status terkini usaha kerajaan untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya dan jika terdapat cadangan untuk menjadikan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertanggungjawab kepada Parlimen untuk menjamin ketelusan proses pendakwaan pada masa hadapan.
Azalina berkata Jabatan Peguam Negara sedang memuktamadkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) berhubung pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk dibentangkan pada garis masa yang telah ditetapkan.
Beliau berkata kerajaan akan membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) terlebih dahulu sebelum diikuti oleh RUU Omnibus bagi meminda 19 undang-undang berkaitan serta RUU Saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Berdasarkan hala tuju dan amanat Perdana Menteri dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 pada 5 Jan, Azalina berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan supaya RUU Perlembagaan (Pindaan) dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 bagi persidangan ini.
Selain itu, Azalina berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri juga komited dalam usaha reformasi undang-undang dan institusi melalui pelancaran Kerangka Akauntabiliti Malaysia (KAM) pada 13 Jan.
Beliau berkata KAM merangkumi semua usaha reformasi undang-undang dan institusi termasuk cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang akan dijalankan secara berterusan pada tahun ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


