PTVM hargai sumbangan Suhaimi Sulaiman, gesa transformasi RTM diteruskan

PTVM menyifatkan usaha Suhaimi berjaya mengangkat kembali peranan RTM sebagai penyiar awam yang dekat dengan rakyat dan industri. - Foto fail
Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) merakamkan penghargaan kepada Datuk Suhaimi Sulaiman, yang akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah Penyiaran RTM berkuat kuasa 23 Februari 2026.
Dalam satu kenyataan rasmi, Presiden PTVM, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata persatuan itu menghormati keputusan Suhaimi dan menzahirkan setinggi‑tinggi penghargaan atas kepimpinan beliau yang dianggap membawa nafas baharu kepada RTM.
"Tempoh pentadbiran Suhaimi sebagai era pembaharuan penting bagi RTM, termasuk penambahbaikan tadbir urus dalaman, keterbukaan kepada dialog lebih menyeluruh bersama penggiat industri, pendekatan kandungan yang lebih progresif dan relevan, danmengukuhkan hubungan RTM sebagai rakan strategik penerbit tempatan." katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut, usaha Suhaimi berjaya mengangkat kembali peranan RTM sebagai penyiar awam yang dekat dengan rakyat dan industri.
PTVM turut menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, untuk melantik seorang Ketua Pengarah RTM baharu yang berwibawa, berpengalaman, memahami ekosistem penyiaran, serta komited meneruskan transformasi yang telah dimulakan.
Menurut kenyataan itu, RTM harus terus memainkan peranan sebagai penyiar awam yang menyampaikan dasar kerajaan secara berimbang dan berkesan, memupuk perpaduan, membina negara bangsa, serta mencerminkan realiti serta aspirasi rakyat Malaysia.
PTVM juga menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan RTM dan kerajaan demi memastikan industri televisyen Malaysia berkembang secara profesional, mampan dan berdaya saing.
Sebelum ini, Suhaimi mengesahkan akan meninggalkan RTM berkuat kuasa akhir bulan ini, selepas tiga tahun menerajuinya sejak Januari 2023.
Beliau berkata pengunduran beliau daripada jabatan itu adalah keputusan peribadi selepas membuat pertimbangan terperinci terhadap hala tuju peribadi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
