Ketua PBB gesa kerajaan kawal perbelanjaan ketenteraan

Guterres (foto) berkata pinjaman perlu dimanfaatkan untuk membantu, bukannya menjejaskan, negara membangun, sambil menegaskan bahawa hutang merupakan sekutu penting kepada pembangunan apabila disalurkan kepada pelaburan. -Gambar fail
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menggesa kerajaan di seluruh dunia supaya mengekang perbelanjaan ketenteraan yang tidak terkawal, lapor agensi berita Xinhua.
Guterres menyampaikan gesaan itu pada pembukaan Forum on Financing for Development Follow-Up 2026 anjuran Majlis Ekonomi dan Sosial PBB.
“Saya juga menggesa semua kerajaan supaya menghentikan peningkatan perbelanjaan ketenteraan yang tidak terkawal. Sudah tiba masanya untuk menghentikan kegilaan ini.
"Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama menamatkan peperangan yang menjadikan pembangunan semakin sukar dicapai,” kata beliau.
Ketua PBB itu turut berkata pinjaman perlu dimanfaatkan untuk membantu, bukannya menjejaskan, negara membangun, sambil menegaskan bahawa hutang merupakan sekutu penting kepada pembangunan apabila disalurkan kepada pelaburan.
Guterres turut menggesa pembaharuan terhadap kerangka kewangan antarabangsa.
“Dunia telah berubah secara mendadak sejak institusi-institusi ini diwujudkan. Negara membangun kini menyumbang bahagian yang semakin besar dalam pengeluaran dan perdagangan global.
"Kerjasama Selatan-Selatan juga semakin berkembang. Ekonomi global yang lebih multipolar sedang terbentuk.
"Namun, institusi dan aturan pembiayaan kita masih sebahagian besarnya mencerminkan struktur ekonomi dan kuasa masa lalu.
“Demi keadilan dan kewarasan, kita mesti memastikan negara membangun mempunyai penyertaan sekuat mungkin dalam institusi kewangan global selaras dengan realiti ekonomi dunia hari ini.
“Tadbir urus ekonomi global mesti menjadi lebih inklusif, lebih mewakili, lebih adil dan lebih berkesan.
“Pembiayaan untuk pembangunan bukan sekadar soal kemajuan ekonomi. Ia juga melibatkan kemajuan insan dan pemulihan kepercayaan terhadap multilateralisme,” kata Guterres.
-- BERNAMA-XINHUA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

