Komponen Simpanan kini aset strategik Tentera Darat Malaysia – Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis 2026 di Kangar, pada Jumaat. - Gambar Rejimen 504 Askar Wataniah
Komponen Simpanan angkatan tentera kini menjadi antara aset strategik terpenting Tentera Darat Malaysia dalam menghadapi ancaman keselamatan moden yang semakin tidak menentu, termasuk peperangan hibrid dan cabaran geopolitik global.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah transformasi tersebut bukan lagi tertumpu kepada sokongan konvensional semata-mata, sebaliknya mengintegrasikan kepakaran profesional sivil sebagai pengganda kekuatan (force multiplier) kepada keupayaan pertahanan negara.
Titah baginda, tenaga pakar pelbagai sektor termasuk siber, teknologi, logistik dan perubatan bersama keupayaan mobilisasi pantas di peringkat komuniti menjadikan komponen ini semakin kritikal dalam era peperangan moden yang kompleks.
Mengulas lanjut, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, perkembangan keupayaan Tentera Darat kini berteraskan prinsip serbaguna dan fleksibel bagi mendepani landskap operasi yang sentiasa berubah-ubah.
“Strategi ini direkayasa khusus untuk menangani peperangan hibrid, ancaman ‘grey zone’ serta teknologi disruptif berasaskan kecerdasan buatan (AI).
""Keupayaan ini bukan sahaja kritikal dalam konflik moden, malah memastikan ketangkasan Tentera Darat dalam menguruskan krisis kemanusiaan dan bencana alam yang semakin kerap berlaku,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Jawatankuasa Pendukung Angkatan Sukarela (JAKPAS) Perlis 2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, di sini, pada Jumaat.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta puteri-puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji, bersama para pegawai rejimen berkenaan yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman, dan Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hj. Hashim.
Majlis berbuka puasa itu bertujuan mengeratkan hubungan antara ahli JAKPAS, pegawai dan anggota Askar Wataniah serta ketua-ketua jabatan, selain menghargai sokongan kepada Angkatan Sukarela dalam memperkukuh pertahanan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
