Konflik Asia Barat: Iran larang atlet ke negara 'bermusuhan', cetus tanda tanya penyertaan di Piala Dunia

Larangan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai penyertaan skuad kebangsaan Iran dalam Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico. -Gambar fail/Reuters
Kementerian Sukan dan Belia Iran mengumumkan larangan serta‑merta terhadap semua pasukan kebangsaan dan kelab sukan daripada melakukan perjalanan ke negara yang dianggap “bermusuhan”, susulan kebimbangan keselamatan atlet di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak.
Menurut laporan agensi berita ISNA, larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan melibatkan mana‑mana negara yang dikatakan tidak dapat menjamin keselamatan kontinjen Iran.
Kementerian tersebut menegaskan bahawa kehadiran atlet di negara-negara berkenaan adalah dilarang sehingga arahan baharu dikeluarkan.
Keputusan itu dibuat selepas ketegangan meningkat ekoran serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran sejak akhir Februari.
Susulan arahan terbaharu itu, Persekutuan Bola Sepak Iran serta kelab-kelab terlibat kini diwajibkan memaklumkan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memohon pemindahan lokasi perlawanan.
Kementerian berkenaan turut merujuk perlawanan kelab Tractor FC menentang pasukan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi, sebagai antara faktor utama keputusan larangan tersebut.
Namun, senarai rasmi negara yang dikategorikan “bermusuhan” tidak diperincikan.
Larangan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai penyertaan skuad kebangsaan Iran dalam Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di AS, Kanada dan Mexico.
Menteri Sukan Iran, Ahmad Donyamali, sebelum ini memberi bayangan bahawa Iran mungkin menarik diri jika isu keselamatan dan hubungan diplomatik dengan AS tidak bertambah baik.
Dalam pada itu, FIFA melalui Presidennya, Gianni Infantino, dilaporkan mahu kejohanan diteruskan mengikut jadual asal, walaupun Iran sebelum ini meminta agar perlawanan peringkat kumpulan mereka dipindahkan ke Mexico.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
